Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu – Turun untuk mempertahankan kejuaraan bagi tahun kedua telah membuahkan hasil apabila pasukan pantun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek dinobatkan sebagai Juara Pesta Pantun Daerah Kuala Terengganu 2024.
Pertandingan pantun yang berlangsung selama dua hari ini diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering, Kuala Terengganu yang bermula pada 10 Julai hingga 11 Julai 2024.
Pasukan ini telah membariskan lima orang pemantun daripada pelajar tingkatan tiga, iaitu Widad Farhanah Abdul Malek, Mursyidah Hanani Mohd Fadliyazid, Nur Syifa’ Akhyar Ahmad Amri, Nur Aqila Zainee Jafri Zainee dan Nur Anis Diana Ariffin.
Tambahan lagi, pasukan ini juga membawa pulang dua anugerah khas yang dipertandingkan, iaitu Anugerah Keterampilan Terbaik dan Pemantun Terbaik melalui pemantun ketiga, iaitu Nur Syifa’ Akhyar Ahmad Amri.
Menurut ahli pasukan ini, persiapan dan latihan pasukan yang telah dibuat sejak hujung akhir tahun 2023 telah dibimbing dan dilatih oleh Encik Hariri dan Cikgu Raja Nordiana.
SMKA Sheikh Abdul Malek akan mewakili daerah Kuala Terengganu ke Pesta Pantun Peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan pada 24 Julai 2024 dan daerah Dungun akan menjadi tuan rumah pada pertandingan kali ini.
Sebagai rekod, sebanyak lapan daerah akan berentap bagi mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan pada bulan Ogos akan datang.