Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTerdapat dua perkara menarik dalam kalendar cuti persekolahan pada pertengahan tahun yang lalu. Pertama, PBAKL 2024 dan kedua, pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi individu yang lahir pada tahun 2006. Apakah persamaan bagi kedua-dua perkara ini? Sudah pastinya, buku!
Keputusan SPM 2023 berjaya mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60, sekali gus menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding dengan tahun 2022, iaitu 4.74. Sebanyak 11 713 orang calon telah memperoleh keputusan cemerlang dengan kesemua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran pada tahun 2023 berbanding dengan 10 109 orang calon pada tahun 2022. Secara keseluruhannya, keputusan SPM pada tahun ini mencatatkan peningkatan dan lebih baik daripada tahun lepas termasuklah bilangan lulus semua mata pelajaran dan peratus calon yang layak menerima sijil SPM.
Memetik ucapan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk calon SPM melalui laman media sosialnya, “Kepada yang memperoleh keputusan cemerlang, teruskan usaha kalian untuk mendepani fasa berikutnya dalam kehidupan. Kepada yang kurang bernasib baik, ini bukan pengakhiran, sebaliknya masih banyak ruang dan peluang untuk cipta kejayaan baharu.”
Memang benar, SPM hanyalah permulaan kepada kehidupan daripada sebuah pengakhiran zaman persekolahan. Namun demikian, trend generasi kini yang ghairah ingin menjadi seorang pempengaruh media sosial disebabkan oleh gaya hidup mewah dan merendah-rendahkan individu yang ingin menyambung pengajian perlu diberikan perhatian yang serius. Dakwaan ini tepat kerana sebanyak 10 600 orang calon daripada 383 685 orang calon tidak menduduki SPM pada tahun 2023, manakala pada tahun 2022, hampir 30 000 orang calon tidak mengambil peperiksaan tersebut.
Pada tahun 2022, kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa kira-kira 390 000 orang calon atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak berminat untuk menyambung pengajian. Mereka lebih memilih untuk bekerja sebagai pempengaruh, pemandu e-panggilan (e-hailing) atau penghantar makanan.
Generasi keciciran wujud angkara pandemik COVID-19 kerana terpaksa mengharungi pengajaran dan pembelajaran di rumah, secara dalam talian serta hibrid semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akibatnya, terdapat pelajar yang hilang minat untuk belajar atas pelbagai faktor seperti tiada pembelajaran secara fizikal di sekolah, suasana di rumah yang berbeza, tidak dapat bertemu dengan rakan-rakan, keterbatasan penggunaan teknologi, kurang tumpuan dan mudah terganggu. Generasi pasca-COVID-19 seharusnya bangkit dan lebih bersedia untuk mendepani cabaran pendidikan pada hari ini dan keluar daripada kepompong PKP.
Oleh itu, terlintas dalam fikiran penulis siapakah yang akan menghasilkan Ungku Aziz, Khoo Kay Kim dan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang seterusnya? Walau bagaimanapun, penulis tidaklah berasa terlalu gusar terhadap persoalan tersebut jika melihat kesesakan yang berlaku di PBAKL pada tahun ini. PBAKL 2024 telah mencatatkan sejarah kerana menerima kehadiran 1.8 juta orang pengunjung berbanding dengan 1.5 juta orang pengunjung pada tahun lalu.
Dalam hal ini, penulis berpandangan bahawa mungkin boleh difikirkan cara untuk menarik lebih banyak pengunjung bukan Melayu agar pesta buku yang diadakan lebih bercitrakan bangsa Malaysia dan bukannya hanya Melayu sentrik.
Selain itu, memakai nama antarabangsa pada nama pesta buku memberikan kesan dan harapan yang besar. Adakah kata “antarabangsa” bermaksud menarik pengunjung dari luar negara untuk datang membeli karya tempatan sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa negara lain? Adakah hal ini juga merujuk bilangan pempamer buku antarabangsa yang turut serta atau jumlah karya terjemahan dan alih bahasa kepada bahasa kebangsaan? Waima apa-apa pun tanda yang menunjukkan “antarabangsa” itu, objektifnya diharapkan tercapai.
Tatkala dunia masa pada masa ini dihambat dengan segala-galanya yang berbentuk digital, ternyata buku dalam bentuk fizikal masih mempunyai peminatnya. Bau, tekstur dan kepuasan memegang sesebuah buku itu mengatasi sifat bahan bacaan maya yang tidak mendatangkan nilai sentimental tersendiri. Kesemua itu berbalik kepada soal subjektiviti cita rasa dan keselesaan pembaca itu sendiri umpama rambut sama hitam, hati lain-lain.
Disebabkan oleh hati lain-lain, maka kita tidak mampu menebak sanubari segelintir generasi kini yang kurang gemar menyambung pengajian selepas SPM. Sebagai contohnya, biduanita negara, Yang Berbahagia Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin telah menghabiskan pengajiannya pada peringkat SPM dan kemudiannya menjadikan nyanyian sebagai bidang kerjayanya.
Selain itu, penghibur nombor satu di Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad telah berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang undang-undang daripada universiti tempatan di negara ini. Pada masa yang sama, beliau berbakat menghasilkan karya yang malar segar.
Sementara itu, penyanyi popular, Aina Abdul juga gigih menyambung pengajiannya sehingga bergelar graduan jurusan muzik kontemporari walaupun beliau kini berada di puncak populariti.
Oleh hal yang demikian, apakah penyebab anak muda sekarang tidak mahu menyambung pengajian selepas SPM? Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran kerana terpengaruh dengan hasutan golongan yang belum tentu kejayaannya dalam jangka masa panjang. Hidup merupakan satu proses dan alamilah kehidupan itu dengan penuh kesabaran dan pengharapan kepada Allah yang Maha Esa.
Kini, dunia sedang mengalami perkembangan evolusi sains dan teknologi menerusi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menuntut tenaga kepakaran dalam bidang ini. Bidang teknologi tinggi seperti AI, dron dan robotik adalah antara peluang kerjaya pada masa hadapan yang boleh diteroka oleh generasi muda.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Penghayatan Riyadh al-Salihin bersempena dengan Festival Turath Islami Selangor pada 1 Jun lalu menyarankan agar golongan muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang AI dilatih untuk menerapkan khazanah ilmu Islam dan turath dalam korpus AI. Beliau juga mengusulkan penubuhan universiti dan fakulti AI di Malaysia supaya berdaya saing dengan arus teknologi pesat dan membangun selaras dengan falsafah Malaysia MADANI.
Di samping itu, pekerja berkemahiran tinggi seperti graduan daripada jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang perubatan amat diperlukan. Bidang akademik, industri kreatif ataupun pasaran buruh, kesemuanya menuntut kepada pencarian ilmu yang berterusan menerusi kursus yang ditawarkan pada peringkat pendidikan tertiari.
Jika generasi muda terus dimomokkan dengan budaya hedonisme dan “skim cepat kaya” versi masa ini yang disalutkan dengan balutan manis bernama pempengaruh, adakah buku yang terdapat di PBAKL pada suatu hari nanti ditulis oleh orang luar atau menggunakan teknologi AI?