Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDungun – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek yang mewakili daerah Kuala Terengganu berjaya merangkul Naib Johan dalam Pesta Pantun Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 2024.

Sebanyak enam daerah telah mengambil bahagian bagi merebut kejuaraan dalam pertandingan pantun tersebut yang berlangsung di Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun.
“Pasukan ini telah melakukan persiapan lebih kurang tujuh bulan sebelum berentap dalam pesta pantun pada kali ini dengan menguasai pelbagai teknik dan terapan latihan yang telah diajar agar lebih bersedia dari segi mental dan fizikal bagi merangkul kejuaraan pada tahun ini,” kata jurulatih pemantun SMKA Sheikh Abdul Malek, Encik Muhammad Hariri.
Cikgu Raja Nordiana merangkap jurulatih pemantun SMKA Sheikh Abdul Malek juga menyatakan bahawa pendedahan terhadap teknik latihan yang diberikan sedikit banyak membantu pasukan ini lebih berkeyakinan dan membuka minda para pemantun tentang olahan jawapan pantun yang lebih matang, tepat dan padat.
Lima orang pemantun dari SMKA Sheikh Abdul Malek yang terlibat terdiri daripada pelajar tingkatan tiga, iaitu Widad Farhanah Abdul Malek, Mursyidah Hanani Mohd Fadliyazid, Nur Syifa’ Akhyar Ahmad Amri, Nur Aqila Zainee Jafri Zainee dan Nur Anis Diana Ariffin.

Semasa pertandingan pantun peringkat suku akhir menentang daerah Kuala Nerus yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting dan separuh akhir menentang daerah Besut yang diwakili oleh SMKA Nurul Ittifaq, Widad Farhanah Abdul Malek, iaitu pemantun pertama SMKA Sheikh Abdul Malek telah dinobatkan sebagai pemantun terbaik berturut-turut dalam dua sesi pertandingan tersebut berikutan persembahannya yang berkeyakinan dan bersahaja telah berjaya menambat hati barisan juri yang mengadili kedua-dua peringkat pertandingan berkenaan.

Bergerak ke pentas akhir, pasukan SMKA Sheikh Abdul Malek bertemu dengan pasukan tuan rumah, iaitu SM Sains Dungun dan kekal tenang serta memberikan saingan yang sangat sengit pada pertandingan peringkat akhir itu walaupun berdepan dengan sorakan padu daripada penyokong tuan rumah.
Walaupun belum dapat meraih gelaran johan pada tahun ini, pasukan pemantun dari SMKA Sheikh Abdul Malek tetap optimis untuk mencuba sekali lagi bagi merebut kejuaraan dalam pertandingan pantun pada masa akan datang.
Sebagai rekod, negeri Terengganu akan menjadi tuan rumah bagi Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang akan berlangsung pada 25 Ogos 2024 hingga 28 Ogos 2024.
Dalam pertandingan pantun tersebut, sebanyak 14 pasukan pantun bagi setiap negeri akan berentap untuk merebut Piala Sirih Pulang ke Gagang pada tahun ini.