Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli
Kuala Lumpur – Satu sesi lawatan dan pemantauan bahasa kebangsaan ke beberapa buah stesen MRT telah diadakan pada hari ini oleh Unit Pengiklanan MRT Corp dan Unit Audit dan Pemantauan daripada Bahagian Penguatkuasaan (BPk), Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (JKBS), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sesi ini merupakan sebahagian daripada Program Audit Bahasa Melayu di MRT Corp yang berlangsung sejak hari Isnin lalu dan akan berakhir pada hari Khamis ini.
Sesi pemantauan ini dilaksanakan bagi tujuan mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan dari segi ayat, ejaan, kosa kata dan tanda baca di beberapa buah lokasi berkenaan, selain memastikan keselarasan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat di kaunter perkhidmatan pelanggan, papan tanda, dan paparan iklan yang melibatkan stesen MRT, di dalam tren MRT, bahagian luaran stesen MRT dan tiang trek MRT.
Sesi lawatan dan pemantauan ini diketuai oleh Encik Wan Nuzul Azlan Wan Mohamad Mukhtar, Pengurus Kanan Unit Pengiklanan MRT; Encik Wallace Soh Chun Hwei, Pengurus Kanan, Pengurusan Awam dan Pihak Berkepentingan; Encik Fakhrurrazi Mohamad, Eksekutif Kanan, Pengurusan Awam dan Pihak Berkepentingan dan Encik Mohd Syafiq Mohd Fuad, Pengurus Aset dan Operasi; sementara pihak DBP pula diwakili oleh Puan Yusaida Yusof, Ketua Unit Audit dan Pemantauan, BPk; Puan Siti Rohaizah Sarkom, Urus Setia Audit Bahasa Melayu dan Puan Hasnah Mohd Saleh, Juruaudit Bahasa yang merupakan Munsyi Dewan.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBP untuk meningkatkan kualiti komunikasi dalam perkhidmatan awam dan memastikan kepatuhan penggunaan bahasa kebangsaan yang standard di lokasi pengangkutan awam di seluruh negara.
Encik Azlan berkata, “Pihak kami telah bekerjasama dengan DBP dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu menerusi bidang pengiklanan. Sebarang kerjasama antara DBP dengan MRT atau dengan agensi kerajaan mahupun swasta amatlah dihargai”.
Penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas bukan sahaja perlu dari aspek pengiklanan, malah dalam sebarang perkara agar penggunaan bahasa kebangsaan dapat diutamakan.
Kerjasama ini merupakan langkah yang sangat baik untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan dalam semua sektor, terutamanya dalam pengangkutan awam.
Encik Azlan juga menyatakan harapannya untuk kemajuan MRT pada masa hadapan, iaitu “Kami daripada Bahagian Pengiklanan MRT akan berusaha untuk memastikan dan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik dalam apa-apa bentuk pengiklanan di premis kami pada masa akan datang.”
Beberapa contoh dapatan penggunaan bahasa Melayu diperoleh daripada sesi pemantauan bahasa Melayu yang dilaksanakan di beberapa buah stesen MRT.