Oleh Shaufi
31 Julai 2024, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada era globalisasi dan digitalisasi ini, pembelajaran bahasa asing telah menjadi satu keperluan yang amat penting. Bahasa bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi, tetapi juga bertindak sebagai kunci kepada pemahaman budaya dan memperkukuh hubungan antarabangsa. Dengan kemajuan teknologi yang ada pada masa ini, kaedah pembelajaran bahasa telah berubah secara dramatik bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran bahasa menjadi lebih efektif dan menarik.

Dalam konteks ini , teknologi semakin memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran, termasuk dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa. Dengan wujudnya kemajuan teknologi yang ada kini, masyarakat atau individu lebih mudah untuk memiliki akses kepada pelbagai sumber bahan dan alat pembelajaran yang boleh meningkatkan proses pembelajaran bahasa mereka.

Menuju era Revolusi Industri 4.0 (I.R 4.0), para pembangun teknologi semakin giat membangunkan aplikasi yang memudahkan proses pembelajaran agar bersifat lebih interaktif dan menarik. Sebagai contoh, aplikasi mudah alih seperti Duolingo dan Memrise yang menawarkan modul khas daripada pelbagai bahasa di serata dunia. Melalui aplikasi ini, masyarakat di seluruh dunia dapat belajar secara interaktif melalui latihan yang bervariasi yang telah disediakan. Penggunaan teknologi ini juga tidak hanya menjadikan pembelajaran lebih menarik, tetapi juga memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk berlatih dengan lebih kerap.

Oleh itu, tidak hairan mengapa penggunaan perisian pembelajaran bahasa semakin berkembang dan kerap dimuat turun sebagai rujukan dan panduan. Hal ini demikian kerana individu atau masyarakat dapat memperkukuh kecekapan berbahasa mereka. Antara contoh perisian yang boleh didapati di Internet adalah seperti Dewan Eja Pro, Kamus Pro, Arah Pintar, Pintar Kata dan Maruza yang dapat membantu dalam pengejaan dan tatabahasa dengan fungsi cek ejaan dan tatabahasa yang lengkap.

Dengan wujudnya perisian seperti ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak lagi hanya bersifat konvensional, tetapi turut menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan dinamik kepada generasi muda. Hal ini memberikan peluang kepada mereka untuk terus menghargai dan memperkembangkan keindahan varian bahasa di serata dunia.

Selain aplikasi dan perisian, capaian pembelajaran dunia digital juga semakin pesat dan berkembang secara meluas dan cepat. Berbagai platform yang diciptakan di pelantar Internet seperti YouTube dan Khan Academy menyediakan video dan bahan pengajaran yang boleh diakses dengan mudah untuk pembelajaran bahasa. Video yang disediakan juga tidak hanya mengajar tatabahasa dan kosa kata, tetapi juga membantu dalam pengucapan dan penggunaan bahasa yang betul dalam konteks yang berbeza.

Aplikasi Memrise yang menawarkan pembelajaran melalui perkongsian video.

Mengambil petikan di laman sesawang weebly.com, penulis Hidayah Abu Kassim berkata, “Penggunaan Internet juga mampu membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif untuk mencapai setiap matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah dibentuk”. Hal ini ditambah pula dengan kehadiran rangkaian media sosial yang semakin meluas kini seperti Facebook dan forum pembelajaran untuk membolehkan masyarakat lebih kerap berinteraksi dengan rakan sejawat bagi memudahkan proses bertukar-bertukar pendapat dan memperbaik kemahiran berbahasa Melayu sesama mereka.

Dalam usaha mengintegrasikan teknologi, individu atau masyarakat harus sentiasa mencari cara yang inovatif bagi memperbaik pembelajaran bahasa mereka. Sebagai contoh, teknologi AI (kecerdasan buatan) dan NLP (pemprosesan bahasa semula jadi) dalam aplikasi pembelajaran bahasa dapat memberikan pengalaman yang lebih disesuaikan dengan keperluan individu. Hal ini dapat membantu mereka dengan keperluan khas atau yang mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza untuk turut menikmati faedah pembelajaran bahasa melalui teknologi. Dengan hal yang demikian, proses pembelajaran dapat memastikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk menguasai bahasa dan berkomunikasi dengan lebih efektif dalam dunia yang semakin terhubung ini.

Kesimpulannya, integrasi teknologi dalam pembelajaran bahasa dunia menawarkan peluang yang luas kepada masyarakat untuk meningkatkan kefasihan dan penguasaan bahasa. Dengan menggunakan teknologi secara bijak, mereka dapat menikmati pengalaman pembelajaran secara lebih interaktif, fleksibel, dan efektif. Para pengkaji dari sektor pendidikan harus terus meneroka dan mengadaptasi teknologi baharu bagi memastikan kaedah pengajaran bahasa sentiasa relevan dan menarik.

Dengan adanya usaha yang berterusan, penggunaan teknologi baharu dapat memainkan peranan yang penting untuk memperkembangkan penguasaan bahasa di peringkat dunia. Diharapkan juga dengan mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ini, kecekapan dan kemahiran masyarakat untuk memahami keindahan bahasa dapat dipertingkatkan sekali gus memperbaik kualiti pengajaran bahasa.

Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin,
Pensyarah,
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.