Diterbitkan pada 1 Ogos 2024, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjalankan kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam di sekitar bandar Kota Bharu.

Kajian yang dijalankan pada 29-31 Julai 2024 itu memberikan tumpuan terhadap empat domain utama, iaitu papan tanda premis perniagaan, kain rentang, gegantung dan papan iklan.

Petugas kajian lapangan ketika berbincang dengan Pengawas Zon tentang paparan awam di bandar Kota Bharu, Kelantan.

Lokasi tumpuan kajian melibatkan tiga kategori zon, iaitu Zon A di sekitar Seksyen 4, Seksyen 7, Seksyen 8; Zon B di Padang Garong, Pengkalan Chepa dan Baung; manakala Zon C meliputi Padang Enggang, Demit dan Guntong Limbat.

Petugas kajian lapangan ketika melakukan tinjauan dan rakaman gambar pada paparan awam bersama-sama Pengawas Zon.

Sepanjang kajian lapangan itu berlangsung, sebanyak 200 sampel data penggunaan bahasa kebangsaan telah berjaya dikumpulkan mengikut kaedah yang ditetapkan.

Selain menggunakan kaedah kutipan data di lapangan, borang soal selidik juga diedarkan secara dalam talian bermula pada 18 Mac 2024 untuk mengetahui sikap masyarakat setempat terhadap penggunaan bahasa kebangsaaan pada paparan awam dengan sasaran responden sebanyak 250 orang yang terdiri daripada pelbagai tingkat sosial dan umur.

Kajian tentang sikap masyarakat setempat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam tersebut dinilai dari aspek penguatkuasaan, kesetiaan bahasa, kebanggaan bahasa, norma bahasa dan iltizam.

Hasil dapatan kajian berkenaan dijangka akan dapat melaporkan tahap semasa penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam di bandar Kota Bharu, sekali gus membantu pihak berkuasa tempatan untuk merancang pelan pemerkasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan serta menambah baik penggunaannya, khususnya di tempat awam pada masa hadapan.

Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Pelesenan dan Kawalan Perniagaan, MPKB-BRI, Encik Mohd Hafeez Ab Samad.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi