Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Usaha menarik minat generasi muda dan masyarakat mencintai bahasa Melayu di samping mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, mendorong Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas (IPGMKIK) memperluas penganjuran Program Sahabat Bahasa bersama-sama Institut Pendidikan Indonesia, Garut, Indonesia.
Program Sahabat Bahasa merupakan aktiviti kebahasaan yang santai ke arah penguasaan komunikasi dalam bahasa Melayu dengan fasih serta berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan yakin.
“Untuk menjayakan hasrat bagi membantu pelajar berinteraksi dengan baik, berkeyakinan dan bertatasusila, Program Sahabat Bahasa pada kali ini diadakan dengan kerjasama Institut Pendidikan Indonesia,” kata Pengarah IPGMKIK, YBrs. Dr. Faridah Yakob.
Program tersebut memberikan peluang kepada murid untuk terampil berbahasa agar menjadi ikutan dan mengamalkan amalan berbahasa yang boleh dicontohi.
Pendekatan program yang dilakukan secara santai itu penting supaya pelajar tertarik dengan aktiviti yang menggalakkan komunikasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan fasih, yakin serta berani dalam kedua-dua bahasa, khususnya di hadapan khalayak.
Sepanjang program berkenaan berlangsung, para pelajar dan pensyarah IPGMKIK berpeluang berkongsi amalan terbaik memperkasakan bahasa dengan memperkenalkan peribahasa Melayu daripada perkataan “senyum” yang didemonstrasikan oleh pelajar IPGMKIK.
Aktiviti tersebut menerapkan elemen kebahasaan dan penerapan nilai positif yang dimuatkan dalam Modul Adab dan Sahsiah yang telah berjaya menarik minat penonton untuk mempelajari pelbagai jenis senyuman, makna peribahasa dan pembelajaran bahasa isyarat.
Sementara itu, pihak Institut Pendidikan Indonesia turut berkongsi teknik bercerita untuk memahirkan pelajar dalam pertuturan, pemahaman kandungan dan penulisan, sekali gus memberikan idea kepada peserta supaya bercerita secara santai tetapi bermakna di samping mempelajari bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dengan cara yang menarik.
Selain itu, dua lagi aktiviti turut dikongsi, iaitu Modul BaNgKiT yang merupakan modul literasi bagi mengajar pelajar yang menghadapi masalah mengenal huruf ataupun membaca dengan memperkenalkan huruf dan cara membaca yang menarik yang boleh digunakan oleh para pendidik mahupun pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di sekolah.
Program Sahabat Bahasa antara IPGMKIK dengan Institut Pendidikan Indonesia merupakan satu daripada inisiatif dalam usaha memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dengan Indonesia menerusi perancangan program yang teliti bagi meningkatkan kemahiran dan keterampilan berbahasa di samping memupuk kesedaran budaya positif dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar dari kedua-dua buah negara.
Pertukaran pandangan dan strategi pengajaran yang efektif antara tenaga pengajar dari kedua-dua institusi turut menjadi fokus utama agar berupaya meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pengajar dalam bidang pengajaran mahupun pembentukan karakter pelajar seperti yang dihasratkan.
Program seumpama ini akan diteruskan pelaksanaannya ke Sekolah Pengajar IPGMKIK dengan penganjuran pelbagai aktiviti yang interaktif bagi membolehkan para pelajar lebih mendekati dan mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.