Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBandar Baru Bangi – Kunjungan akademik Universitas Negeri Semarang, Indonesia (UNNES) ke Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGMKPI), Bangi pagi tadi memberikan peluang kepada delegasi UNNES untuk berbincang dan berkongsi pengalaman dengan pasukan IPGMKPI, seterusnya memperkukuh jaringan dua hala dalam arena pendidikan melalui penyertaan dan kerjasama antarabangsa antara Indonesia dengan Malaysia
Selain 107 orang mahasiswa pascasarjana Program Studi Magister Pendidikan Dasar, lawatan tersebut turut disertai oleh dua orang pensyarah, iaitu YBrs. Dr. Ellianawati dan YBrs. Dr. Nuni Widiarti.
Menurut Ketua Jabatan Perancangan Penyelidikan dan Inovasi IPGMKPI, YBrs. Dr. Mohd Bakri Aziz@Saari, program ini merupakan inisiatif terbaik untuk membentuk kolaboratif pendidikan dan perkongsian idea antara pensyarah ke arah memperkasakan pendidikan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini dapat membuka pintu kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bidang pendidikan, latihan dan teknologi, serta pertukaran idea dan pengalaman dengan pihak luar negara demi meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IPGMKPI, YBrs. Dr. Abdul Rahman Abdullah dalam ucapan perasmiannya berkongsi tentang lima ciri guru yang hebat pada masa ini, iaitu berilmu dan menambah pengetahuan sebanyak yang mungkin, hebat berinovasi yang menekankan aspek kreativiti dan inovatif dalam penyampaian ilmu, fasih digital dan tidak ketinggalan dengan teknologi semasa, berkeupayaaan membuat penyelidikan untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerapkan nilai karamah insaniah dalam memanusiakan murid yang menjadi tanggungjawabnya.
Majlis yang berlangsung di Dewan Idris al-Marbawi ini menyaksikan perkongsian pembentangan amalan terbaik pedagogi oleh para pensyarah IPGMKPI.
YBrs. Dr. Ellianawati berkata bahawa perkongsian inovasi oleh pensyarah IPGMKPI akan menjadi inspirasi buat para pelajar pascasiswazah untuk melaksanakan kerja penyelidikan apabila kembali ke tanah air mereka, sekali gus seiring dengan matlamat melahirkan guru yang profesional, serta meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam medan pengajaran supaya melahirkan anak didik yang cemerlang.
Bagi Ketua Panitia Kuliah Kerja Lapangan, Encik Abdul Muntaha, beliau berasa sungguh gembira atas sambutan meriah yang diberikan oleh warga IPGMKPI, selain melahirkan rasa bertuah kerana berpeluang mengikuti perkongsian pembentangan inovasi yang sangat bermanfaat seperti Teknik STEAM, ABCTOK dan buku interaktif kerana juga sesuai diaplikasikan di Indonesia.
Selain itu, Encik Muslikhin, pelajar pascasarjana yang membuat penyelidikan bidang bacaan dalam kalangan murid sekolah dasar berpendapat bahawa program ini memberikan pengalaman baharu kepada dirinya yang pertama kali mengikuti sesi perkongsian ilmu di Malaysia yang mudah difahami bahasanya.
Pelajar UNNES, Puan Anik Hariyastuti pula berkongsikan bahawa lulusan Magister Pendidikan Dasar akan dibekalkan dengan keterampilan profesional sebagai ilmuwan pelbagai disiplin pengetahuan, kecekapan kerja ilmiah, kemahiran tentang media pembelajaran mahupun inovasi pembelajaran selain berperanan sebagai fasilitator dan pengelolaan bidang pendidikan yang berkelayakan.