6 Ogos 2024, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Akal budi terpancar melalui cara hidup, bahasa khususnya dan karya sastera sesuatu bangsa.”

(Aminuddin Mansor, Akal Budi Melayu dalam Pantun dan Sajak, 2012)

Bahasa Melayu klasik sarat dengan akal budi  yang memperlihatkan nilai budaya, adat dan kepercayaan masyarakat Melayu yang diwarisi daripada masyarakat terdahulu. Klasik bermaksud “bernilai tinggi dengan ciri-ciri keistimewaan yang tertentu” (Kamus Dewan Perdana, 2021), manakala akal budi Melayu mencakupi nilai, norma, etika dan keintelektualan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu. Hal tersebut mencerminkan pandangan hidup dan cara berfikir masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian. Oleh itu, bahasa Melayu klasik menggambarkan aspek akal budi Melayu yang merangkumi adat dan tradisi yang diwarisi daripada generasi ke generasi.

Sementelahan itu, bahasa Melayu klasik sarat dengan makna tersirat serta lambang  kesopanan dan adab masyarakat Melayu.  Umum mengetahui bahawa sejak dahulu lagi masyarakat Melayu dan lingkungan sekitarnya mengamalkan ketertiban dan kesopanan dalam kehidupan. Contohnya, penggunaan bahasa Melayu klasik menerusi karya sastera seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulalatus Salatin mencerminkan akal budi Melayu dalam kehidupan bermasyarakat, kepahlawanan, dan adat istiadat raja-raja Melayu. Bahasa Melayu klasik yang digunakan dalam naskhah tersebut turut mencerminkan pandangan dunia dan nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Selari dengan itu, bahasa Melayu klasik turut menggambarkan kesederhanaan masyarakat Melayu dalam menjalani kehidupan seharian. Hal tersebut memperlihatkan perilaku kehidupan masyarakat Melayu yang terpuji seperti  sikap merendah diri, sopan santun  dan adab berkomunikasi. Secara tidak langsung, hal tersebut dapat menyuntik nilai baik dalam kalangan generasi baharu. Contoh petikan:

Kerana salah tuan hamba sendiri; apa sebabnya tuan hamba melepaskan Sang Sempuh tadi?

Ada selang beberapa lama ketikanya sekonyong-konyong bertemulah ia dengan seekor rusa betina, lalu Sang Kancil bertanya, “Dari mana Sang Rusa ini, dan hendak ke mana?” Maka jawab rusa itu, “Hamba dari rumah hendak mencari rezeki.”

(Cerita Jenaka Melayu, 2007)

 

Berdasarkan petikan tersebut, perkataan “hamba”  merupakan  satu daripada cara untuk menunjukkan sikap merendah diri. Hal tersebut merupakan sebahagian daripada adab dan tatacara ketika berkomunikasi dalam kalangan masyarakat Melayu lama. Istilah “hamba” merupakan budaya komunikasi menerusi penggunaan bahasa klasik  yang santun dan beradab. Oleh itu, secara tidak langsung istilah tersebut dapat mengajar khalayak pembaca, khususnya generasi baharu agar mempunyai rasa hormat dan sopan ketika berkomunikasi.  Selain  itu,  penggunaan perkataan “hamba” dapat menyemai nilai kesederhanaan dan pengakuan terhadap kedudukan diri yang lebih rendah berbanding dengan orang lain. Hal tersebut selaras dengan kepentingan sikap merendah diri dan menghormati orang lain yang merupakan satu daripada akal budi masyarakat Melayu. Tuntasnya, budaya berkomunikasi yang menggunakan bahasa Melayu klasik dalam kalangan masyarakat Melayu lama mencerminkan nilai kesopanan, penghormatan dan kebijaksanaan yang melambangkan identiti masyarakat Melayu sejak berabad-abad lamanya.

Lain daripada itu, bahasa Melayu klasik merujuk bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam karya sastera, sejarah dan dokumen rasmi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga abad ke-19. Bahasa Melayu klasik memperlihatkan gaya penulisan yang istimewa, termasuk penggunaan kosa kata dan tatabahasa yang berbeza jika dibandingkan dengan bahasa Melayu moden. Contohnya, kata ganti nama diri pertama seperti  istilah “patik” merujuk satu daripada bentuk sapaan ketika berkomunikasi dalam lingkungan istana antara rakyat jelata dengan raja atau sultan. Istilah “patik” yang ditemui dalam karya sastera atau sejarah secara tidak langsung dapat menyemai rasa penghormatan dan kepatuhan oleh rakyat biasa ketika berbicara dengan raja atau  sultan.  Penggunaan istilah  “patik” juga menggambarkan kesetiaan dan pengabdian seseorang kepada rajanya yang berbentuk penegasan akan posisi sosial dan hierarki dalam struktur kerajaan Melayu lama. Tuntasnya,  istilah “patik” merupakan satu daripada elemen penting dalam bahasa dan budaya komunikasi Melayu lama yang mencerminkan nilai kesetiaan, penghormatan dan hierarki sosial dalam masyarakat.

Istilah “baginda” pula merupakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu merujuk raja atau sultan. Secara tidak langsung, istilah “baginda” dan “patik” merupakan cerminan kekayaan budaya dan sejarah bangsa Melayu serta masih dihargai dan diguna pakai  hingga kini. Selain itu, istilah tersebut dapat membangkitkan rasa penghargaan terhadap  institusi raja untuk merealisasikan prinsip Rukun Negara dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi baharu. Hal tersebut diperlihatkan menerusi petikan berikut:

Petikan 1

“Ampun tuanku, beribu-ribu ampun! Sembah patik harapkan diampun jua kiranya …”

(Cerita Jenaka  Melayu, 2007)

 

Petikan 2

maka baginda pun geringlah terlalu sangat.

(A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, 2015)

 

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kepercayaan kepada raja dan negara merupakan satu daripada prinsip utama dalam Rukun Negara Malaysia. Prinsip ini menekankan kepentingan kesetiaan dan penghormatan terhadap institusi raja dan kedaulatan negara. Oleh itu, adab berkomunikasi antara raja dengan rakyat dalam konteks budaya dan sejarah Malaysia menggambarkan kepentingan raja dalam stratifikasi sosial masyarakat Melayu. Institusi raja mempunyai kedudukan yang sangat penting sebagai simbol perpaduan, kedaulatan dan identiti negara.  Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu klasik dapat memperlihatkan kepada masyarakat kini tentang adat sapaan dan adab berkomunikasi antara pelbagai strata masyarakat.

Selain itu, bahasa Melayu klasik turut digunakan untuk mengungkapkan adat istiadat dan upacara tradisional. Oleh itu, pendedahan bahasa Melayu klasik dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi baharu dapat melestarikan warisan dan tradisi. Contohnya, istilah “semayam” yang membawa maksud duduk di atas takhta atau singgahsana  hanya digunakan dalam kalangan raja dan golongan istana.  Istilah “semayam” digunakan dalam konteks kerajaan Melayu untuk menunjukkan kedudukan tinggi dan kehormatan yang dimiliki oleh golongan raja atau sultan. Hal tersebut diperlihatkan menerusi petikan berikut:

ALKISAH tersebutlah perkataan Sultan Mahmud Syah semayam di Kampar; datanglah peredaran dunia, maka baginda pun geringlah terlalu sangat.  Maka diketahui baginda akan penyakit baginda itu ajal.  Maka Bendahara dan Seri Nara Diraja, dan Temenggung dan laksamana, segala Orang Kaya sekalian masuk mengadap baginda.

(A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, 2015)

Menerusi petikan tersebut, istilah “semayam” menggambarkan kedudukan raja yang berada pada stratifikasi tertinggi,  mulia,  lambang kekuasaan dan kedaulatannya. Lain daripada itu, bahasa Melayu klasik turut dapat menjelaskan adat istiadat menghadap raja di balairung seri.

Di samping menggambarkan kepentingan tradisi dan ritual, generasi baharu  turut dapat mempelajari bahasa klasik seperti istilah “sida-sida” yang membawa maksud pegawai dalam istana. Raja dan pemimpin saling berperanan dalam pemerintahan sesebuah negara. Oleh itu, “sida-sida” dan raja memiliki peranan yang saling melengkapi dalam sistem pemerintahan dan kehidupan masyarakat Melayu lama. Contoh petikan:

Adapun apabila raja dihadap orang di balairung maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung, dan segala menteri dan Orang Besar-besar, segala sida-sida duduk di seri balai; maka  segala anak-anak raja-raja itu duduk dikelek-kelekan balai kiri kanan, dan segala sida-sida yang muda-muda duduk diselang-selang antara Bentara, dan hulubalang muda-muda berdiri diketapakan balai memikul pedang, dan kepala bentara yang di kiri itu, daripada anak cucu menteri yang patut akan menjadi Bendahara dan Penghulu Bendahari dan Temenggung; dan kepala  bentara yang di kanan itu, daripada anak cucu hulubalang yang akan patut jadi Laksamana dan Seri Bija Diraja; dan barang siapa bergelar Sang Setia bakal Seri Bija Diraja; dan barang siapa bergelar Sang Guna bakal Laksamana, dan barang siapa bergelar Tun Pikrama bakal Bendahara.

(A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, 2015)

Berdasarkan petikan tersebut, “sida-sida” perlu memastikan kelancaran dan keamanan kehidupan istana, sementara raja pula berperanan sebagai pemimpin yang menjaga  kesejahteraan rakyatnya.  Oleh hal yang demikian, elemen tersebut penting untuk mempertahankan struktur sosial dan politik kerajaan Melayu.

Konklusinya, bahasa Melayu klasik mencerminkan akal budi Melayu dalam tatakelola masyarakat pada zaman dahulu. Penggunaan bahasa yang sopan dan beradab ketika berkomunikasi pula melambangkan budi bahasa dan tatasusila dalam budaya Melayu. Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu klasik bukan sahaja merupakan alat komunikasi, tetapi juga sebagai penyimpan warisan budaya dan akal budi masyarakat Melayu yang masih relevan dan dihargai dalam kehidupan masyarakat Melayu hingga hari ini.

 

Prof. Madya Dr. Roslina Abu Bakar – Pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.