Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata adjektif ialah kata yang dapat menjadi inti frasa adjektif yang bersifat endosentrik. Selain itu, pada umumnya kata adjektif menghuraikan kata nama atau frasa nama.
Huraian adjektif terhadap kata nama mempunyai tatatingkat perbandingan tertentu. Hal ini meliputi darjah ketiadaan, darjah kurang, darjah biasa atau neutral, darjah lebih dan darjah penghabisan. Perbezaan tahap perbandingan pada umumnya digambarkan dengan penggunaan penguat yang berbeza-beza. Selain itu, unsur lain seperti kata tidak dan sedikit, serta imbuhan digunakan pada darjah tertentu.
Dari segi darjah ketiadaan, sifat adjektif dikatakan tidak wujud pada sesuatu kata nama. Inilah tahap perbandingan sifar yang paling rendah dalam skala perbandingan adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia tidak sopan.
1b. Dia tidak prihatin.
Tahap seterusnya ialah darjah kurang. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Dia paling kurang sopan.
2b. Dia terlalu/terlampau kurang sopan.
2c. Dia amat kurang sopan.
2d. Dia kurang sopan.
2e. Dia kurang sopan sedikit.
2f. Dia agak sopan.
Berdasarkan kelompok ayat 2, dapat kita lihat bahawa darjah perbandingan kurang mencakupi enam peringkat yang berbeza, daripada yang paling kurang yang paling negatif kepada agak yang hampir neutral. Satu hal yang harus kita ingat ialah kata penguat berderetan lebih kurang bukan bermaksud “kurang” (less), tetapi “hampir sama”.
Tahap seterusnya ialah darjah biasa atau neutral, iaitu kata nama yang berkenaan dikatakan setakat mempunyai sifat adjektif yang berkenaan. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Dia sopan.
3b. Dia prihatin.
Tahap perbandingan keempat ialah darjah perbandingan lebih. Hal ini merangkumi beberapa tahap. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Dia lebih sopan sedikit.
4b. Dia lebih sopan.
4c. Dia sangat sopan.
4d. Dia terlalu/terlampau sopan.
4e. Dia terlalu/terlampau sangat sopan.
Pada darjah kesangatan, kata penguat selain kata sangat yang dapat mengiringi kata adjektif termasuklah amat, sungguh, benar, betul, nian dan cukup. Pada darjah kesangatan tinggi, kata penguat selain terlalu/terlampau sangat ialah terlalu/terlampau amat dan sungguh amat.
Kata terlalu berkaitan dengan sifat yang berlebihan, dan ada kalanya hal sedemikian mungkin mendukung makna yang negatif. Contohnya, orang yang terlalu baik mungkin mudah diperalatkan atau dimanipulasikan oleh orang lain. Selain itu, orang yang terlalu baik kepada masyarakat luar mungkin mengabaikan kepentingan dan kebajikan keluarganya sendiri.
Tahap perbandingan yang terakhir dan paling tinggi ialah darjah penghabisan. Hal ini melibatkan pelbagai variasi penggambaran juga. Sila lihat contoh yang berikut:
i. Dengan Imbuhan atau/dan Kata Penguat
5a. Dia tersopan.
5b. Dia paling sopan.
5c. Dia sopan sekali.
5d. Dia teramat/tersangat sopan.
5e. Dia amat/sangat/sungguh sopan sekali.
ii. Dengan Bentuk se- + kata adjektif + gandaan + kata nama
5f. Kasih sayangnya setinggi-tinggi gunung dan sedalam-dalam lautan.
iii. Dengan kata Maha
6a. Tuhan Maha pengasih lagi Maha penyayang.
6b. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat ke tempat majlis itu.
Kata penguat maha ialah darjah penghabisan yang melebihi tahap manusia biasa. Oleh itu, kata penguat ini dikaitkan dengan Tuhan, Yang di-Pertuan Agong atau sultan sahaja, bukan orang kebanyakan.
Tatatingkat perbandingan adjektif yang berbeza-beza membolehkan kita memilih darjah penggambaran yang sesuai dengan orang, haiwan, benda atau perkara tertentu. Hal ini menunjukkan kekayaan dan keupayaan bahasa Melayu untuk membanding beza sifat atau keadaan pelbagai perkara secara jelas dan tepat.
Tatatingkat perbandingan adjektif dapat kita susun secara berkesinambungan seperti yang berikut:
tidak – paling kurang – terlalu kurang – amat kurang – kurang – kurang sedikit – agak – neutral – lebih sedikit – lebih – amat – terlalu – terlalu amat – paling – maha