Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu – Amirul Irsyad Zafran Mohd Rizal dari Sekolah Menengah Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek yang mewakili daerah Kuala Terengganu telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024.
Pertandingan tersebut telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara, Kuala Terengganu pada 6 Julai 2024 lalu.
Wakil bagi pasukan debat dari SMKA Sheikh Abdul Malek terdiri daripada tujuh orang pelajar tingkatan tiga, iaitu lima orang pendebat utamanya ialah Wan Fatimah Alia Wan Mohd Hanafi Ali, Amirul Irsyad Zafran Mohd Rizal, Muhammad Affieq Darwish Mohd Sofian, Nur Afrina Zahira Nor Amri dan Nazurah Mohd Hafiz, manakala dua orang lagi merupakan pendebat simpanan, iaitu Nur Qistina Batrisya Amiruddin dan Nur Hajariah Ismail.
“Persediaan dan latihan awal telah diadakan sejak Mei 2024 dengan pelbagai teknik dan olahan idea diperkemas oleh ahli pasukan bagi menghadapi cabaran dalam pertandingan debat tersebut,” kata Amirul Irsyad Zafran.
Tambah beliau, kesibukan dirinya membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak menghalangnya untuk turut menyertai pertandingan berkenaan.
Dalam pertandingan tersebut, sebanyak enam daerah telah berentap untuk merebut kejuaraan pada tahun ini.
Pada peringkat suku akhir, pasukan debat dari daerah Kuala Terengganu itu telah menewaskan pasukan dari daerah Setiu yang diwakili oleh Sekolah Menengah (SM) Sains Setiu dan berjaya mara ke peringkat separuh akhir.
Pada peringkat separuh akhir pula, pasukan tersebut juga berjaya mengatasi pasukan debat dari daerah Kemaman yang diwakili oleh Sekolah Menengah Agama Al-Falah dan Wan Fatimah Alia Wan Mohd Hanafi Ali berjaya menjadi pendebat terbaik dalam perlawanan debat pada peringkat separuh akhir ini.
Dengan usul perdebatan “Malaysia Wajar Kekal sebagai Negara Perindustrian Berbanding Negara Pertanian” pada peringkat akhir pertandingan tersebut, pasukan debat SMKA Sheikh Abdul Malek yang bertindak sebagai pihak pembangkang sekali lagi mendapat tentangan hebat daripada pasukan debat SM Sains Hulu Terengganu.
Walaupun pasukan ini hanya merangkul naib johan dalam pertandingan debat tersebut, namun semangat dan keazaman barisan pendebat untuk memenangi pertandingan ini seharusnya dipuji.
Pertandingan debat peringkat kebangsaan pada tahun ini pula akan diadakan di Pahang pada 8 September 2024 hingga 11 September 2024 nanti.