11 Ogos 2024, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Selaras dengan seruan kerajaan untuk memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dan peringkat antarabangsa, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (SUK Pulau Pinang) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa Siri Khas  bagi memantapkan kemahiran bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam.

Kursus yang berlangsung dari 5 ̶ 9 Ogos 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) ini disertai oleh 29 peserta dalam kalangan Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Tadbir, Pegawai Khas, Penolong Pegawai Tanah dan Penghulu di bawah SUK Pulau Pinang.

Kursus ini juga menekankan kepentingan bahasa Melayu dalam memperkukuh jati diri penjawat awam melalui modul persejarahan bahasa Melayu yang menanamkan kefahaman mendalam mengenai asal usul dan perkembangan bahasa kebangsaan di samping mempersiapkan para peserta dengan ilmu kebahasaan yang relevan dalam urusan tugas seharian.

Sepanjang kursus, para peserta dibimbing oleh Munsyi Dewan, Encik Ab Karim A. Bakar, yang antara lainnya membawakan peserta kursus kepada penerokaan modul khusus persejarahan bahasa Melayu.

Peserta kursus dibimbing oleh Munsyi Dewan, Encik Ab Karim A. Bakar.

Modul ini dirangka untuk menanamkan kesedaran dan penghargaan terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun yang telah mencorakkan identiti dan jati diri bangsa.

Pada hari terakhir kursus, peserta menduduki Ujian Pemantapan Bahasa yang akan menentukan kelayakan mereka untuk ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa.

Majlis penutupan kursus dirasmikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Pembangunan Modal Insan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia SUK Pulau Pinang, Puan Farhanis Shahida Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan para peserta untuk mengaplikasikan ilmu kebahasaan dan kefahaman sejarah bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi demi memperkukuh kualiti bahasa kebangsaan serta jati diri sebagai penjawat awam.

Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Bahagian Pengembangan Bakat dan Kepakaran DBP, Puan Murjana@Norjanah Yusof; Encik Sharizul Razli Seth dari DBP; dan Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid Abdullah Tahir dari INTAN.

Puan Murjana@Norjanah dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan DBP untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelaksanaan inisiatif kebahasaan, khususnya Program Munsyi Muda Bahasa.

Kerajaan telah menetapkan bahawa pegawai awam perlu menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam semua urusan rasmi sama ada lisan atau bertulis sambil terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa tersebut.

Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa, yang bermula sejak 2015, merupakan satu daripada inisiatif penting dalam usaha melahirkan duta bahasa dalam kalangan pegawai kerajaan yang memahami dan menghargai peranan bahasa Melayu dalam pembentukan jati diri bangsa serta penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti dan profesional.

Pada tahun 2024, sebanyak sembilan siri kursus Pembinaan Munsyi Muda telah dirancang, dengan matlamat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 10 orang Munsyi Muda Bahasa bagi setiap kementerian, jabatan, dan agensi persekutuan serta negeri.

Sasaran ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperluas peranan Munsyi Muda Bahasa dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.