Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBatu Gajah – Dalam usaha mendepani cabaran dalam dunia pendidikan, Gabungan Pelajar Melayu Negeri Perak (GPMS Perak) menganjurkan Persidangan Pelajar Melayu Negeri Perak sebagai satu daripada program yang memberikan impak dan nilai tinggi kepada pelajar Melayu, khususnya di negeri Perak.
Persidangan ini menghimpunkan hampir 150 peserta daripada pelbagai latar belakang pendidikan pelajar yang terdiri daripada persatuan belia di negeri Perak, pelajar tingkatan enam, pelajar matrikulasi, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mahasiswa dan ahli GPMS di setiap negeri.
Persidangan yang berlangsung di Akademi Pembangunan Belia Malaysia Negeri Perak pada 10 dan 11 Ogos 2024 ini mengambil semangat daripada pejuang pendidikan terdahulu bersempena dengan Kongres Penuntut Melayu Malaya yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, 14 dan 15 Ogos 1948 dengan dipengerusikan oleh Aminuddin Baki.
Pada persidangan kali ini, GPMS Perak cuba mengetengahkan kelangsungan pelajar Melayu melalui forum dan pembentangan daripada ahli akademik dan cendekiawan yang disegani di Malaysia bagi mendepani cabaran masa ini yang kian berubah dalam struktur pendidikan.
Aktiviti ini juga bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang baharu kepada para pelajar Melayu untuk membuka minda dengan menceburi pelbagai bidang agar dapat meningkatkan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat setempat.
Sasaran GPMS Perak begitu optimis dalam mengenal pasti masalah dalam kalangan pelajar Melayu dan mencari solusi dalam isu yang berkaitan dengan pelajar Melayu dengan mengangkat satu resolusi kepada pihak berwajib dalam usaha membantu pelajar Melayu.