Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlor Setar – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam di sekitar bandar raya Alor Setar.
Kajian yang merangkumi semua kawasan di bawah pentadbiran MBAS dijalankan selama tiga hari bermula pada 12-14 Ogos 2024 dan memberikan tumpuan terhadap empat domain, iaitu papan tanda premis perniagaan, kain rentang, gegantung dan papan iklan.
Di pusat bandar, kutipan data dilakukan di Pekan Rabu, Pekan Cina, Kompleks Kanchut dan Jalan Stadium, manakala kutipan data di kawasan timur ke utara Alor Setar dijalankan di Pumpung, Anak Bukit, Titi Gajah dan Pantai Johor.
Kutipan data di kawasan barat ke selatan Alor Setar pula dilakukan di Pekan Simpang Kuala, Tandop, Pekan Simpang Empat, Kuala Kedah dan Jalan Lencong Barat hingga Jalan Pegawai.
Sebanyak 200 sampel data pada paparan awam telah berjaya dikumpulkan mengikut kaedah pensampelan yang ditetapkan.
Selain kutipan data di lapangan, kajian sikap masyarakat setempat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam turut dijalankan dengan pengedaran borang soal selidik secara dalam talian.
Sasaran responden adalah sebanyak 250 orang yang terdiri daripada golongan bekerja atau menetap di Alor Setar daripada pelbagai latar sosial, pelbagai kaum dan peringkat umur.
Kajian tersebut dijangka dapat melaporkan tahap semasa penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam di bandar raya Alor Setar dan dapatan kajian yang diperoleh dapat digunakan untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam usaha meningkatkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, sekali gus memaparkan citra bahasa yang indah.
Selain itu, DBP akan menggunakan dapatan kajian berkenaan sebagai maklumat penting untuk merancang pelan dan strategi pemerkasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan serta menambah baik penggunaannya, khususnya di tempat awam pada masa hadapan.