Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPengajaran tatabahasa harus dijalankan secara holistik, terutamanya pada peringkat awal persekolahan. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid perlu dibiasakan dengan pelbagai struktur morfologi dan sintaksis bahasa Melayu secara bawah sedar dan ansur maju. Apabila mereka sudah biasa mendengar, menuturkan, membaca dan menulis kata, frasa dan ayat dalam bahasa Melayu, tentulah mereka lebih mudah memahami dan menguasai tatabahasa bahasa Melayu.
Dalam pengajaran bahasa, kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis perlu digabungjalinkan dengan kemahiran yang berkaitan dengan tatabahasa, kosa kata dan sastera, selain ditambah dengan penerapan ilmu dan nilai. Selain itu, penggunaan gambar dan ilustrasi, benda maujud serta kepelbagaian aktiviti dapat menghidupkan pengajaran supaya murid akan kekal berminat dan berasa seronok. Dengan hal demikian, pengajaran tatabahasa akan menjadi lebih bermakna dan lebih dekat dengan alam persekitaran hidup murid. Dalam hal ini, penyampaian pelajaran secara bertema dapat meliputi segala aspek tersebut secara sempurna dan tuntas.
Sebagai contoh, guru boleh menggunakan tema atau topik “Bermain Bola Sepak” untuk mengajarkan bahasa dan tatabahasa. Sila baca contoh petikan yang berikut:
Bermain Bola Sepak
Ini gambar Ali. Ali suka bermain bola sepak. Dia selalu bermain bola sepak di padang. Padang itu terletak di tepi jalan. Padang itu tidak jauh dari rumahnya.
Ali ada bola sepak. Bola sepaknya berbentuk bulat. Bola sepaknya merupakan barang import. Harganya tinggi.
Ali sering bermain bola sepak dengan kawan-kawannya. Mereka bermain bola sepak pada masa lapang. Dengan itu, mereka sentiasa sihat dan cergas.
Ali pandai bermain bola sepak. Dia berlatih bersungguh-sungguh. Dia menjadi wakil sekolah. Dia dapat berlari pantas. Dia sering menjaringkan gol. Dia menjadi semakin terkenal.
Sekali imbas, petikan di atas mungkin dirasakan sebagai terlalu sederhana, dan tiada apa-apa yang menarik untuk diajarkan. Namun begitu, sebenarnya petikan itu dapat digunakan untuk membiasakan murid dengan pelbagai aspek bahasa pada peringkat awal, dan digunakan untuk mengajarkan pelbagai aspek tatabahasa secara induktif, seperti yang berikut:
A. Aspek fonologi
Sebutan vokal, konsonan, diftong, vokal berganding, selain suku kata, kata, frasa, klausa dan ayat yang pelbagai.
Contoh diftong – [ai] dalam kata pandai
Contoh vokal berganding – [a] + [i] dalam kata bermain, [a]+[u] dalam kata jauh
Contoh suku kata: ini (V + KV), gambar (KVK + KVK), bermain (KVK + KV + VK), dia (KV + V), padang (KV + KVK), harganya (KVK + KV + KV)
Contoh digraf: ng dalam kata padang, ny dalam kata harganya
B. Aspek Morfologi
i. Golongan kata: kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas
Contoh kata nama: ini, dia, bola, Ali, mereka, masa, barang, import, harga, -nya
Contoh kata kerja tak transitif: bermain, berbentuk, berlatih, ada, menjadi, berlari
Contoh kata kerja transitif: menjaringkan
Contoh kata adjektif: jauh, sihat, cergas, lapang, tinggi
Contoh kata nafi: tidak
Contoh kata bantu ragam: dapat
Contoh kata penguat hadapan: semakin
Contoh sendi nama: di, pada, dengan
Contoh kata arah: tepi
Contoh adverba: suka, sering, selalu, bersungguh-sungguh
Contoh kata adjektif yang berfungsi sebagai adverba: pandai, pantas
Contoh kata kerja yang berfungsi sebagai kata adjektif: terkenal
Contoh kata kerja transitif yang berfungsi sebagai kata pemeri: merupakan
ii. Bentuk kata: kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk, kata ganda
Contoh kata tunggal: Ini, Ali, padang, suka, dia
Contoh kata majmuk: bola sepak, gambar Ali, barang import, tepi jalan, wakil sekolah
Contoh kata terbitan: bermain, berlari, berbentuk, terletak, menjadi, menjaringkan, merupakan, semakin
Contoh kata ganda: bersungguh-sungguh, kawan-kawannya
C. Aspek Sintaksis
Jenis frasa: frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, frasa sendi nama
Bentuk ayat: ayat tunggal
Jenis ayat: ayat penyata
Pola ayat: frasa nama + frasa nama, frasa nama + frasa kerja, frasa nama + frasa adjektif
Contoh frasa nama (sintaksis): ini, gambar Ali, bola sepaknya, harganya
Contoh frasa kerja: suka bermain bola sepak, selalu bermain bola sepak di padang, ada bola sepak
Contoh frasa adjektif: tidak jauh dari rumahnya, sentiasa sihat, sentiasa cergas
Contoh frasa sendi nama: di padang, di tepi jalan, dari rumahnya, dengan kawan-kawannya, pada masa lapang, dengan itu
Contoh kata kerja tak transitif dengan frasa nama sebagai frasa keterangan: bermain bola sepak
Contoh kata kerja tak transitif dengan frasa sendi nama pelengkap: terletak di tepi jalan
Contoh kata kerja tak transitif dengan frasa nama pelengkap: ada bola sepak, menjadi wakil sekolah
Contoh kata kerja tak transitif dengan frasa adjektif pelengkap: menjadi semakin terkenal
Contoh kata kerja tak transitif dengan kata penerang untuk kata dasarnya: berbentuk bulat
Contoh frasa kerja tak transitif dengan frasa sendi nama sebagai frasa keterangan: bermain bola sepak di padang
Contoh frasa adjektif dengan frasa sendi nama sebagai frasa keterangan: tidak jauh dari rumahnya
Contoh frasa kerja transitif dengan objek: menjaringkan gol
Contoh kata ganti nama tunjuk umum sebagai penentu belakang frasa nama: itu
Contoh penanda wacana: Dengan itu
Petikan seperti yang di atas dapat digunakan untuk mengadakan latihan berbahasa seperti berlatih sebutan, bacaan mekanis, berdialog, melengkapkan ayat, menjawab soalan pemahaman, membina ayat penyata dan membina ayat tanya. Pada peringkat yang lebih tinggi, kandungan petikan tersebut boleh dijadikan lebih mencabar dengan adanya kosa kata yang lebih sukar dan unsur tatabahasa yang lebih kompleks, seperti pelbagai jenis, ragam, susunan dan bentuk ayat. Dengan itu, terdapat satu rentetan pengajaran tatabahasa yang berkesinambungan dari tahun satu di sekolah rendah hingga tingkatan lima di sekolah menengah untuk melahirkan murid yang menguasai tatabahasa bahasa Melayu dengan baik.