16 Ogos 2024, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Garing – Pasukan pantun daerah Petaling Perdana yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong sekali lagi mempertahankan kejuaraan dalam Pertandingan Pesta Pantun MADANI (Sekolah Menengah) Peringkat Negeri Selangor pada tahun ini.

Pertandingan pesta pantun berkenaan diadakan selama dua hari bermula pada 14 Ogos 2024 hingga 15 Ogos 2024 di SMK Seri Garing selaku tuan rumah bagi pertandingan ini.

Barisan pemantun dari SMK Bukit Jelutong diwakili oleh empat orang pelajar tingkatan empat, iaitu Muhammad Adib Arrayyan Fazrul, Nurul Adlina Jamil, Alysha Damia Fauzi, Megat Muhammad Irfan M Mohd Nur dan seorang pelajar tingkatan lima, iaitu Alya Izzati Asrul.

Para pemantun diiringi oleh tiga orang guru pengiring, yakni Puan Norlidah, Puan Zanariah dan Puan Faizah serta dua orang jurulatih, iaitu Encik Hariri dan Encik Izzul Iman.

Barisan pemantun SMK Bukit Jelutong diiringi oleh tiga orang guru pengiring.
Pasukan pemantun SMK Bukit Jelutong bergambar bersama-sama jurulatih mereka.

“Persiapan untuk menyertai pertandingan pesta pantun pada tahun ini telah dilakukan seawal bulan Jun 2024 dengan pelbagai pendedahan serta teknik menjawab pantun telah diberikan kepada para pemantun agar mereka dapat menguasai cara untuk membina pembayang pantun dan menjawab isu yang dilontarkan oleh pihak lawan,” kata Encik Hariri.

Dalam pusingan pertama, pasukan pantun dari SMK Bukit Jelutong berjaya mengatasi pasukan dari daerah Gombak dan Muhammad Adib Arrayyan Fazrul dinobatkan sebagai pemantun terbaik.

Pada peringkat suku akhir pula, pasukan tersebut berjaya menewaskan pasukan dari daerah Kuala Selangor yang diwakili oleh SMK Saujana Utama, manakala pada peringkat separuh akhir, pasukan ini berjaya mengatasi pasukan dari daerah Hulu Langat yang diwakili oleh SMK Bandar Tun Hussein Onn (2).

Pemantun terbaik bagi peringkat suku akhir, peringkat separuh akhir dan peringkat akhir bagi pertandingan itu menjadi milik Alya Izzati Asrul.

Alya Izzati Asrul.

Menurut Alya Izzati Asrul, walaupun beliau merupakan pelajar tingkatan lima yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini, minat dan keazaman dalam berpantun sentiasa diseimbangkan dengan pembelajaran akademik.

Anugerah Keterampilan Terbaik juga dirangkul oleh pasukan dari SMK Bukit Jelutong.

Mengiringi kemenangan tersebut, para pemantun membawa pulang trofi dan sebuah piala pusingan “Kencana Bahasa”.

Pasukan ini akan membawa nama negeri Selangor ke Pertandingan Pesta Pantun Kebangsaan yang akan diadakan pada 25 Ogos 2024 hingga 28 Ogos 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.