18 Ogos 2024, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap masyarakat di seluruh dunia mempunyai kelebihan terutamanya dari segi budaya dan adat resam masing-masing. Budaya setempat ini turut merangkumi tingkah laku sosial dan norma yang diamalkan oleh masyarakat tersebut. Kekayaan dari segi budaya tersebut membuatkan banyak penyelidik lama mahupun baharu bertungkus lumus untuk mengkaji, menggali serta merungkaikan sesuatu budaya untuk disumbangkan dalam bidang akademik.

Masyarakat Melayu yang mewakili majoriti kaum di Malaysia turut tidak ditinggalkan oleh mereka. Kesemua kajian berlatarbelakangkan budaya Melayu ini melibatkan penyelidik yang berkecimpung dalam bidang sosiologi, antropologi, arkeologi dan bahasa Melayu. Dalam makalah ini, penulis ingin menumpukan bidang bahasa Melayu yang melibatkan kajian budaya dengan gastronomi alam Melayu. Aspek gastronomi seakan-akan kurang diberikan perhatian oleh para sarjana kontemporari apabila berhadapan dengan kajian berkaitan dengan elemen budaya. Kenyataan tersebut bukanlah untuk menuduh semberono, namun realitinya begitu.

Terlebih dahulu, perlu difahami maksud gastronomi Melayu dan peranannya dalam dunia akademik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gastronomi ditakrifkan sebagai suatu kajian, seni atau amalan memilih, menyediakan atau memakan makanan yang baik. Dengan kata lain, gastronomi melibatkan kajian tentang makanan. Gastronomi tidak hanya terangkum dalam kajian tentang cara pembuatan semata-mata, tetapi merupakan suatu bidang yang luas. Bidang ini penting bagi memahami dan menghargai makanan dalam kehidupan seharian.

 

Kepentingan Gastronomi terhadap Dunia Akademik dan Khalayak Umum

Persoalan yang sering berlegar dalam pemikiran kita adalah, apakah kepentingan kajian gastronomi terhadap dunia akademik, dan mengapakah hal tersebut dianggap penting? Bagi merungkaikan persoalan tersebut, kita perlu memahami bahawa bidang akademik, khususnya bahasa Melayu amat luas kerana bidang ini sering mendapat stereotaip. Segelintir anggota masyarakat sering mengaitkan bidang bahasa Melayu dengan hanya belajar menulis karangan dan tatabahasa, walhal pembelajaran bahasa Melayu merangkumi aspek linguistik, kesusasteraan dan budaya Melayu.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Melayu mempunyai “peraturan” tidak bertulis tentang cara sesuatu makanan dinikmati dan senarai makanan yang boleh membawa serta berpotensi memberikan penyakit. Hal ini melibatkan pemilihan makanan berdasarkan idea kesihatan dan pantang larang yang perlu dipatuhi. Pembuktian tentang hal tersebut diperoleh melalui kajian yang telah dijalankan bahawa makanan yang berunsur angin, bisa, tajam dapat memberi kesan terhadap kesihatan masyarakat Melayu.

Menariknya, gastronomi alam Melayu sangat berkaitan rapat dengan bahasa Melayu kerana tidak tercakup dalam penulisan dan tatabahasa semata-mata seperti yang sering ditanggapi oleh masyarakat umum. Bidang bahasa Melayu turut merangkumi pengkhususan terhadap makanan dari segi kajian asal usul, bahasa dan juga falsafah di sebalik makanan tersebut. Kajian ini sangat menarik untuk dihadam kerana pembacanya tidak langsung memerlukan latar belakang akademik atau disiplin bahasa Melayu untuk memahaminya secara umum.

Kepentingan gastronomi adalah untuk memberikan pendedahan serta mengukuhkan lagi warisan budaya Melayu kerana gastronomi merupakan cerminan budaya dan tradisi sesuatu masyarakat. Makanan tradisional Melayu seperti rendang, nasi lemak dan kuih-muih mencerminkan cara hidup, kepercayaan dan sejarah masyarakat Melayu. Bahasa Melayu digunakan untuk menyampaikan resipi, kaedah memasak dan kisah di sebalik makanan tersebut yang membantu melestarikan warisan budaya Melayu. Sebagai contoh, penggunaan dialek yang khusus untuk panggilan sesuatu bahan masakan menjadikan penyediaan hidangan tersebut sesuatu yang istimewa dan dapat dibandingkan dengan wilayah Melayu yang lain.

Dengan pengkajian terhadap sesuatu resepi makanan, seseorang pengkaji akan dapat merungkai dengan lebih lanjut berkenaan dengan bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu merupakan antara bahasa yang banyak dipertuturkan oleh manusia di dunia ini. Tidak mustahil bahawa penyediaan sesuatu resepi akan melibatkan limpahan perbendaharaan kata yang agak jarang dikenali. Aspek ini sangat sinonim dengan cabang linguistik bahasa Melayu, iaitu sosiolingustik. Sosiolingustik ialah suatu kajian yang melibatkan variasi bahasa, identiti sesuatu bahasa dan lain-lain lagi. Konklusinya, gastronomi sangat berkaitan rapat dalam dunia akademik bahasa Melayu.

Namun begitu, apakah perkaitan gastronomi alam Melayu dengan khalayak umum? Bagi mereka, gastronomi boleh dihadam dengan baik dari segi penyediaan dan resepi sesuatu makanan tradisional. Tanpa dokumentasi yang baik, tidak mungkin masyarakat dapat mencuba sendiri penyediaan sesuatu hidangan tersebut dengan rasa yang asli dan sedap. Hal ini turut dibantu dengan peranan pencipta kandungan yang mempromosikan makanan tradisional tersebut kepada khalayak melalui media sosial. Oleh itu, kajian berkenaan dengan gastronomi tidak lagi perlu dianggap asing oleh masyarakat kerana hal tersebut berkaitan rapat dengan kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya, gastronomi alam Melayu perlu dimanfaatkan dengan lebih meluas oleh penyelidik tidak kira bidang bahasa Melayu mahupun pemakanan. Perkara ini perlu dimanfaatkan kerana aspek ini tidak banyak lagi diterokai dan kemungkinan kutipan data atau sampelnya untuk sesuatu kajian tersebut akan kian berkurang dari semasa ke semasa. Tambahan lagi, hal ini dapat menarik minat lebih banyak generasi muda khususnya, untuk turut berkecimpung dalam bidang bahasa Melayu yang sering menjadi pilihan terakhir untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.   

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.