Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam (SPKSA) 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam menjadi medium yang sangat bermanfaat apabila para peserta bukan sahaja perlu mendeklamasikan sajak, malah mereka perlu menghasilkan sebuah sajak kemerdekaan sendiri yang mampu difahami dan bersesuaian dengan tema yang telah ditetapkan.
Secara tidak langsung, kreativiti dan bakat para peserta dapat dicungkil serta mendidik mereka untuk menulis sajak dengan kosa kata yang baik, susunan rangkap yang tepat dan keindahan bait sajak yang boleh dihayati oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam SPKSA 2024 tersebut, Arif Iswandy Sazali telah dinobatkan sebagai johan bagi kategori dewasa dengan sajaknya yang berjudul “Madah Keakraban Nusa”.
Beliau yang merupakan pelajar dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu berjaya memikat hati para juri dengan keindahan karyanya yang ditulis berkonsepkan ingatan kisah perjuangan tokoh terdahulu untuk terus bangkit berjuang mempertahankan kemerdekaan.
“Rangkap dalam sajak ini mengimbau kisah pahit getir bangsa yang diseksa dengan kejam oleh penjajah durjana yang tiada hati perut,” kata Arif Iswandy Sazali ketika berkongsikan makna rangkap dalam karyanya.
Naib johan pula telah dimenangi oleh Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dengan sajak nukilannya bertajuk “Wahana Waris Merdeka” yang dideklamasikan dengan penuh emosi dan kepelbagaian intonasi suara.
Beliau yang merupakan pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggarap sajak tersebut seperti sebuah cerita tentang kekesalan dirinya terhadap generasi kini yang semakin kurang memiliki sikap patriotisme dalam diri.
Menurut Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman, setiap rangkap dalam sajak beliau bertujuan untuk menyedarkan anak bangsa agar terus peka dan tidak lalai dalam mempertahankan negara, sekali gus menasihati seluruh rakyat di negara ini agar sentiasa bersatu hati demi negara tercinta.
Sementara itu, Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid, pegawai tadbir dari Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang pula menyandang tempat ketiga dengan mempertaruhkan sajaknya yang berjudul “Sekeping Foto di Telapak Pertiwi”.
Ujar beliau,
Sajak ini ditulis berkonsepkan peneguhan negara Malaysia yang telah mencapai lebih enam dekad kemerdekaan dan generasi muda kini perlu terus berfikir dengan kritis cara untuk memastikan pertiwi ini kekal aman dan sejahtera.
Tambah beliau, rangkap dalam sajak beliau meninggalkan persoalan kepada para penonton untuk terus berfikir dan menyedari bahawa negara ini perlu dijaga dan tanggungjawab terhadap negara harus digalas oleh seluruh warganegara tanpa mengira agama, bangsa dan usia.
Johan SPKSA 2024 membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700.00, trofi dan sijil penyertaan, naib johan pula menerima hadiah wang tunai sebanyak RM400.00, trofi dan sijil penyertaan, manakala pemenang tempat ketiga memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM300.00, trofi dan sijil penyertaan.