Oleh Nazrul Aziz
23 Ogos 2024, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bahagian Khidmat Pengurusan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menganjurkan Pesta Pantun Peringkat Ibu Pejabat KKM di Dewan Serbaguna KKM bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2024.

“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” menjadi tema bagi pesta pantun berkenaan selari dengan hasrat pihak penganjur untuk menyemai semangat patriotik dalam jiwa setiap peserta di samping memartabatkan bahasa Melayu dalam setiap acara yang diadakan.

Pantun yang merupakan puisi tradisional masyarakat Melayu dipilih sebagai satu daripada acara untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan kerana pantun sangat dekat dengan jiwa rakyat Malaysia dan suatu seni tradisional yang wajar untuk diangkat agar tidak ditelan zaman.

Encik Wan Mohd Akmal selaku juri bagi pesta pantun tersebut berkata, para peserta menunjukkan kemampuan untuk berjual beli pantun dengan menepati ciri-ciri pantun seperti rima pantun yang betul dan jumlah suku kata yang digunakan adalah antara lapan hingga 12 suku kata.

Ujar beliau,

Setiap peserta diberikan masa selama 15 saat untuk menjual pantun dan 60 saat untuk membeli pantun.

Mereka juga tidak boleh berbincang sewaktu menjual pantun, sebaliknya perlu menyediakan pantun sendiri dalam tempoh yang ditetapkan.

Tiga pasukan yang berentap dalam pesta pantun tersebut ialah Kumpulan Cengkih dari Pusat Pergigian Kanak-kanak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pergigian) Georgetown, Kumpulan Nilam Puri dari Institut Kesihatan Negara dan Bahagian Pengurusan Maklumat serta Kumpulan Madani dari Bahagian Pembangunan Kompetensi dan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu.

Kumpulan Nilam Puri yang diwakili oleh Puan Asnida Abu Bakar, Puan As’malia Md. Lasim dan Puan Siti Zaileha A Salam telah berjaya merangkul johan dalam pertandingan tersebut, manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Cengkih dan tempat ketiga menjadi milik Kumpulan Madani.

Barisan pemantun daripada Kumpulan Nilam Puri.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, KKM, Puan Norli Karim dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pesta Pantun KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.