Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBandar Baru Enstek – Inovasi TAPEM: Tapak Pembayang yang mewakili Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Melaka menjulang Anugerah Platinum bagi kategori Pensyarah IPG dalam Persidangan Kebangsaan Pedagogi dan Pendidikan Guru Zon Selatan.
Persidangan yang berlangsung semalam di English Language Teaching Centre (ELTC) dirasmikan oleh Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad.
Inovasi TAPEM diketuai oleh Encik Ahmad Fikri Ab Rahman bersama-sama Puan Jaimah Abdul Manaf, Encik Hamzah Dollah dan Encik Bong Koi Sin dari Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka.
TAPEM merupakan inovasi buat para guru untuk mengajar kaedah mencipta pantun kepada murid sekolah rendah agar mereka dapat mencipta pembayang secara berestetika kurang daripada 90 saat.
Encik Ahmad Fikri yang terkejut dengan kemenangan anugerah tersebut berkata, beliau bersyukur kerana Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu, YBrs. Dr. Kartini Abdul Mutallib dan Puan Juhana Baba selaku Ketua Jabatan Pengajian Melayu sentiasa menekankan budaya inovasi di IPG.
“Bahkan, pakar inovasi di kampus kami, iaitu YBrs. Dr. Shahrir Affandi juga gemar berkongsi tip bermanfaat demi mendorong kami,” katanya.
Tambah Encik Ahmad Fikri, TAPEM telah mula disebar luas kepada para guru dan murid di Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak awal Jun yang lalu.
Sebagai rekod, para guru yang mengaplikasikan TAPEM dalam Pertandingan Pesta Pantun Peringkat Negeri berjaya menjulang juara dan mewakili negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan yang diadakan di Terengganu kelak.
Persidangan yang bertemakan “Karamah Insaniah Memperkasa Pembangunan Karakter dan Pembentukan Sahsiah” ini disertai hampir 100 penyertaan dari seluruh Malaysia dan hanya 20 pasukan berjaya mara ke peringkat akhir bagi kategori Pensyarah IPG.
“Besar harapan kami untuk bekerjasama dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya inovasi TAPEM ini dapat menyuburkan lagi warisan pantun dalam kalangan generasi muda,” katanya.