Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa yang mempunyai sejarah yang mendalam dan penuh keagungan di rantau Asia Tenggara. Sejak zaman dahulu lagi, bahasa ini tidak hanya berfungsi sebagai alat komunikasi harian, tetapi juga sebagai lingua franca yang pernah menjadikan bahasa ini sebagai perantara oleh pelbagai bangsa dan etnik di seluruh Nusantara. Peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca mencerminkan keindahan dan keunikannya, yang turut membentuk identiti dan peradaban di rantau ini.
Melihat sejarah perkembangan bahasa Melayu suatu masa dahulu, bahasa ini boleh dijejaki seawal abad ke-7 yang pada ketika itu muncul kerajaan tua maritim seperti Srivijaya yang berpusat di Sumatera, Indonesia. Bahasa Melayu pada ketika itu digunakan sebagai bahasa pentadbiran dan perdagangan yang memudahkan interaksi sesama pedagang dari pelbagai sudut latar belakang negara. Dengan wujudnya kedudukan strategik Kerajaan Srivijaya di laluan perdagangan utama, bahasa Melayu mula tersebar luas dan menjadi lingua franca di pelabuhan penting seperti Melaka, Aceh dan Palembang.
Mengimbau semula pada zaman Kesultanan Melaka, bahasa Melayu mula mencapai kemuncak kegemilangannya pada sekitar abad ke-15. Melaka yang menjadi pusat perdagangan utama di rantau ini menarik pedagang dari seluruh dunia termasuk Arab, India, China dan Eropah. Keperluan untuk berkomunikasi dengan pelbagai bangsa ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam urusan perdagangan dan diplomasi, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai lingua franca.
Satu daripada keunikan bahasa Melayu ialah kesederhanaan tatabahasanya. Bahasa Melayu tidak mempunyai sistem konjugasi kata kerja yang kompleks seperti dalam banyak bahasa lain. Hal ini menjadikan bahasa Melayu mudah dipelajari oleh penutur bahasa lain. Bukan itu sahaja, bahasa Melayu juga sangat adaptif kerana menerima pengaruh dan kata-kata pinjaman daripada bahasa lain seperti Arab, Sanskrit, Tamil, dan Cina. Keupayaan bahasa Melayu untuk menyerap elemen asing ini tanpa kehilangan identitinya merupakan satu ciri yang menjadikannya sangat dinamik dan relevan dalam pelbagai konteks. Penggunaan peribahasa dan pantun dalam komunikasi harian menambahkan lagi dimensi estetika dalam bahasa Melayu. Selain digunakan untuk berkomunikasi, bahasa Melayu juga menjadi medium untuk menyampaikan nilai moral dan etika kepada orang lain.
Sebagai lingua franca, bahasa Melayu berperanan penting untuk menyatukan pelbagai etnik dan komuniti di Nusantara. Dalam konteks perdagangan, bahasa Melayu menjadi bahasa penghubung yang memudahkan pertukaran barangan dan idea antara pedagang dari pelbagai negara. Dalam konteks sosial pula, bahasa Melayu memudahkan interaksi antara komuniti yang berbeza, serta menggalakkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penduduk di rantau ini. Suatu ketika dahulu, bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di rantau Nusantara. Buktinya ialah penggunaan tulisan Jawi yang merupakan adaptasi tulisan Arab. Hal ini memperkukuh lagi peranan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi agama dan ilmu pengetahuan. Banyak kitab agama, perundangan dan kesusasteraan ditulis dalam bahasa Melayu sehingga menjadikannya bahasa ilmu yang penting di Nusantara.
Meskipun peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca telah diambil alih oleh bahasa lain seperti Inggeris pada zaman moden ini, warisan bahasa ini tetap hidup dan dihargai. Di negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, bahasa Melayu masih digunakan secara meluas dan diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Pentingnya bahasa Melayu untuk membentuk identiti dan budaya Nusantara tidak boleh dinafikan. Oleh itu, usaha untuk mempertahankan dan memperkaya bahasa ini harus diteruskan agar warisan yang berharga ini tidak hilang ditelan zaman.
Mengambil petikan penulisan Azura Halid di laman sesawang Astro Awani tahun 2001 yang bertajuk “Bahasa Melayu klasik citra Malaysiana,” beliau berkata, “Penggunaan istilah Melayu akan menyerlahkan lagi nilai estetika dalam penulisan prosa dan puisi, teks ilmiah, pidato umum serta penamaan kawasan dan bangunan. Kosa kata ini melambangkan perluasan pembacaan bagi seseorang pengarang atau pembicara.” Kesimpulan yang dapat dirumuskan ialah keindahan dan keunikan bahasa Melayu sebagai lingua franca pada suatu masa dahulu ialah warisan yang amat bernilai pada suatu masa dahulu. Kita perlu berbangga bahawa bahasa ini bukan sahaja menjadi alat komunikasi, tetapi juga sebagai jambatan yang menyatukan pelbagai budaya dan bangsa di Nusantara. Peranan sejarahnya sebagai lingua franca membuktikan betapa dinamik dan adaptifnya bahasa ini, serta pentingnya untuk terus memelihara dan mengembangkan bahasa Melayu dalam dunia moden yang semakin mencabar. Dengan menghargai dan memelihara keindahan bahasa Melayu, kita dapat memastikan bahawa warisan budaya dan identiti kita terus hidup dan berkembang pada masa hadapan seperti slogan, “Budi bahasa budaya kita”.
Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin dan Muhd. Fadhil Abdullah