Oleh Salman Sulaiman
30 Ogos 2024, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Janjang Iktikaf merupakan sebuah buku kumpulan sajak karya Darma Mohammad yang menghimpunkan 81 buah karya yang dihasilkan oleh penyairnya sekitar tempoh enam belas tahun. Kita akan melihat sepintas lalu beberapa sajak yang secara khusus penyair berbicara kepada Pencipta dengan membahasakan diri “aku” – “Mu” dalam karya tersebut.

Penyair memulakan bicaranya kepada Pencipta dalam sajak “Lejar Hidup” yang dimuatkan pada halaman 8. Kita perhatikan sajak pendek tersebut sepenuhnya:

Tuhan jadikan malam
satu jidar.
Kutebus letihku.
Tuhan turunkan jidar itu
rapat ke tumit bumi.
Kuhirup udara dari sumbu ghaib.
Aku terlelap tatkala embun pecah.
Kuperah mimpi sebelum kusampai
ke pangsa siang.
Terbayarkah harga rahmat-Mu, Tuhanku
sedang aku hanya ada air mata riang.

Seperti satu soalan kepada Tuhan, walhal baris tersebut ialah pertanyaan kepada diri sendiri. Penyair sebenarnya menyoal diri sendiri kerana dia memang tidak mampu membayar segala rahmat Allah SWT yang sangat luas, amat besar dan begitu banyak tidak terhitung. Penyair kemudian mengakui akan kelemahan dirinya yang menjadi sebab dia tidak mampu pun membayar segala rahmat Allah SWT itu kerana dirinya tidak punya apa-apa selain air mata gembira.

Manakala dalam “Aphorism”, penyair mengungkapkan hal yang hampir sama, iaitu perihal kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta berakhir dengan pujian terhadap keluasan rahmat-Nya.

Di laut ada garam. Batu karang menghisap
bajamu. Embun merayap turun ke bibirmu
menjamah rasa asin. Rumpai laut subur
di atas buaian buih. Laut tetap teguh menghampar
mukanya yang berkedut. Tuhan, kuasa-Mu abadi
tak tercabar. Engkau memberi roh
kepada laut bersama garam. Kau memberi baja
kepada batu karang. Rahmat-Mu Ilahi melesat
dari teras mutiara ke janggut-janggut udang.

Luasnya rahmat Allah SWT itu meliputi segala makhluk yang menghuni lautan termasuk batu karang, buih, rumpai laut dan juga udang. Walau sekecil mana pun makhluk ciptaan Allah SWT itu, ia tetap tidak terkecuali daripada mendapat rahmat-Nya. Selain “-Mu”, penyair juga menggunakan kata ganti diri “Engkau” bagi merujuk kepada Pencipta, iaitu Tuhan.

Dalam “Bisik” pula, suaranya lebih halus dan mendalam menyeru nama Tuhannya. Sajak ini juga ringkas, dibangunkan dalam enam baris sahaja. Dikutip sepenuhnya sajak tersebut:

Dalam pengabdian
kukunci nama-Mu Ilahi.
Tanpa alpa kurinci nikmat dan musibah.
Kalbuku melesat ke hujung cakerawala
menggapai keampunan-Mu.
Allah al-Ghafur: bisik ini menyejat.

Dengan pengucapan yang lembut dan secara senyap, penyair berbicara kepada Tuhannya. Nama Tuhan yang paling agung juga disebut berserta sifat-Nya, iaitu penyair menyatakan dengan seruan Allah al-Ghafur.

Sama dengan sajak “Aphorism”, sajak “Hutan” yang dimuatkan pada halaman 13 ini juga penyair menyebutkan tentang rahmat Allah SWT. Penyair terlebih dahulu menghuraikan tentang beberapa rahmat Allah SWT terhadap makhluk-makhluk yang terdapat di dalam hutan seperti banir, semut, burung, cengkerik serta alam itu sendiri. Kemudiannya, pada bahagian akhir sajak penyair menyatakan tentang sifat rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT iaitu:

Di bawah kubahmu banir berlunjur
di sana semut bersarang.
Burung-burung berkicau
dan cengkerik merayap tahun demi tahun.
Tuhan mencipta kubah hutan
lebat sekali.
Makhluk menghirup nafas
abad demi abad dengan percuma.
Rahmat-Mu Ilahi merata dan lengkap.
Tiap kumin alam bertasbih
detik demi detik.
Hutan
siapa menghulur cinta kasih kepadamu?

Dalam “Kamar (2)” pula, penyair juga sekali lagi menyeru nama Tuhan yang paling agung, iaitu Allah SWT. Dalam sajak ini penyair menceritakan keadaan dirinya yang berinteraksi dengan Tuhannya dalam sebuah bilik yang begitu sunyi. Sajak ini sebenarnya terlalu singkat dan amat ringkas untuk pembaca memahami dengan jelas apa-apa yang terjadi kepada penyair. Penyair amat berahsia menjadikan sajak ini agak kabur untuk difahami.
Kita tidak tahu apa-apa yang terjadi kepada penyair di dalam kamar yang menyebabkan dia meraung dengan keras. Namun begitu, suasana ketika itu sangat sepi dan sunyi. Ketika itulah penyair mengingati Tuhannya. Semuanya ini dapat kita teliti dalam sajak yang terdiri daripada lima baris ini:

Dalam kamar ini
aku meraung keras
tapi alam amat bisu.
Allah, nama-Mu merayap dalam sarafku.
Dalam darahku.

Dalam “Sujud di Mae Sai” penyair menyeru Tuhannya dengan mengungkapkannya begini: Kebesaran-Mu Tuhan terungkap di sini.

“Di sini” yang dimaksudkan penyair adalah di dalam sebuah masjid di Mae Sai yang terletak di negara Thailand. Penyair menyebut dengan terang bahawa nama masjid tersebut ialah Masjid An-Nur dan negara Thailand pula jelas dapat dikesan pada kalimah “negara Gajah Putih”.

Penyair terus berbicara dengan Tuhannya dalam “Langit (2)” dan berasa begitu takjub melihat alam ciptaan-Nya. Penyair terpesona melihat hujan dan kagum memerhati bintang di langit. Segala ciptaan yang sungguh ajaib itu mengingatkannya agar sentiasa bersyukur setiap kali sebelum tidur:

Aku mencari jenangmu yang terhijab.
Hanya bondong hujan yang berguguran.
Kau bumbung tergantung ajaib dan indah.
Kulihat bilur hitam putih menyilang dari
kutub ke kutub. Bintang berjujuk di ruang
legar Bima Sakti. Tuhan, mampukah aku
tidur tanpa bersyukur?

Manakala dalam “Pohon Zamzam” pula penyair mengibaratkan air zamzam yang ada di Makkah itu ada tunjang dan memiliki pohon. Dalam sajak ini tertera ketakjuban penyair terhadap sumber telaga zamzam yang Allah SWT ciptakan yang tidak pernah kering sejak ribuan tahun silam. Perhatikan bicara penyair dalam empat rangkap akhir sajak tersebut:

Sampaikah akalku menjangkau tunjangmu
mencari sumbu ajaib itu dan aku mahu
menyelam dasar laut rahmat-Mu.

Pohon Zamzam menitip butir-butir fikir
menghantar gema menghening hikmah
sepanjang malam di bawah bayangmu.

Zamzam menyerap ke saraf
menyiram zat dari pohon ajaibmu
menyubur rohku.

Aku menghirup lagi serbat-Mu
jernih dan tulen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.