Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenyair menyeru lagi nama Tuhan dalam sajak seterusnya yang berjudul “Malam Tasyrik”. Sajak yang ditulis di Mina ini menyusur kembali sejarah kehidupan dan perjuangan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Penyair mengenang semula perjuangan dua nabi besar itu di tempat yang bersejarah bagi umat Islam dan penyair mencari kekuatan daripada kisah dua pesuruh Allah SWT ulung itu. Perhatikan rangkap akhir sajak tersebut:
Tuhanku, dari lengkung jejambat seakan kulihat
kelibat Hijir Ismail dan Makam Ibrahim. Di situ
aku pernah sujud. Di malam tasyrik ini, aku mencari
makna tujuh biji batu dalam genggamanku.
“Pualam Dari Hijaz” pula dibina ringkas dalam satu rangkap yang diisi dengan tujuh baris sajak yang ditulis di Makkah pada tahun 1992. Di situ penyair berusaha mencari semula jejak nabi Allah SWT dan di sana jugalah penyair mengakui bahawa kembaranya itu bermakna membuatkan dirinya berasa segar serta seronok. Di sana penyair turut menyatakan tentang penemuan makna kewujudan dirinya. Lihat keseluruhan sajak tersebut:
Kutemui pualam di Tanah Hijaz. Gemerlap.
Tiap juzuk tubuh tersentuh kemilaunya.
Pualam ini seakan bernafas dalam saraf.
Aku mencari jejak Rasul-Mu antara dua kota
suci. Pualam ini menyilau. Hidup ini lunak.
Kembara ini menyegarkan. Menemui
makna kewujudan.
Lebih ringkas lagi percakapan penyair dengan Tuhan-Nya pada halaman berikutnya pada muka surat 29 buku Janjang Iktikaf, iaitu cuma lima baris bicara yang menjadi inti sajak “Selepas Asar”. Penyair memerhati gerak kehidupan pada suatu petang yang diteduhi bayang di kota Makkah, iaitu di antara puncak Safa dan Marwah. Penyair sebetulnya melihat sepasang merpati. Segala yang diperhati dan terjadi adalah gerak kehidupan yang tertakluk di bawah kuasa Tuhan, penyair mengakhiri bicara dengan satu penegasan yang bersifat kehambaan:
Selepas Asar aku memerhati sepasang merpati.
Kota Makkah masih panas tapi bayang lebar melonjong
ke tempat kaum Muslimin duduk dan minum serbat.
Di puncak Safa dan Marwah burung merpati berlegar-legar.
Tuhanku, begini gerak hidup.
Sajak “Rahmat” yang terdapat pada halaman 54 pula dipangkas pendek dan turun ke bawah dengan tujuh rangkap yang memanjang ke akhir. Rata-rata satu, dua dan tiga perkataan sahaja yang menjadi isi setiap baris sajak. Dalam karya ini penyair menyaksikan rahmat Allah SWT yang diturunkan melalui hujan dan melihat betapa ajaibnya kejadian malam. Pada malam yang dibasahi hujan itulah penyair menemui cahaya keimanan yang makin terserlah dalam jiwanya melalui frasa “nyala nurani” yang digunakan penyair sebagai kemuncak sajak. Cahaya tentunya sangat mudah dilihat apabila disuluh pada malam yang begitu gelap. Perhatikan renuangan yang ringkas dan padat itu:
(1)
Hujan
bertebaran
rahmat berguguran.
(2)
Pada malamnya
gelap terhampar
senyap merapat
alam bertasbih.
(3)
Semakin jauh malam
nafas angin berkisar
melakar hikmah.
(4)
Mukmin sujud.
(5)
Hujan rintik-rintik
di atas gelap
ada bilur di hati.
(6)
Tuhanku
sekian lama aku menanti
api ghaib.
(7)
Ini nyala nurani.
Sajak terakhir dalam buku ini yang menggunakan bahasa “aku-Mu” antara penyair dengan Pencipta yang dapat dibaca pada halaman 58 berjudul “Bumi (2)”. Penyair menyuarakan kepedihan dan kesakitan yang dihadapi oleh bumi akibat persengketaan yang dilakukan oleh manusia. Pada rangkap akhir, penyair merayu kepada Tuhannya sambil menyatakan hakikat keadaan umat manusia kini:
Bumi menjadi wadah persengketaan.
Api asap besi bedil
darah daging tangis jerit
lolong laung sendu redam
maut. Marak.
Tuhanku
Sangat sedikit ummah bersyukur.
Begitulah sedikit pengamatan terhadap sajak-sajak yang memuatkan bicara penyair kepada Penciptanya, Rabb al-Jalil dalam buku Janjang Iktikaf karya penyair besar Kelantan, Allahyarham Darma Mohammad yang baru saja kembali ke rahmatullah pada 20 Ogos 2024 yang lalu. Semoga Allah SWT merahmatinya dan memberikan kesejahteraan berpanjangan kepada Allahyarham hingga ke syurga.