2 September 2024, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Tahun selepas tahun 1949 merupakan jangka masa yang penting dalam perubahan berunsur politik yang dilalui oleh bahasa Melayu. Pada penghujung tahun 1949, Dato’ Zainal Abidin Haji Abas, seorang ahli Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan telah membawa usul yang mendesak kerajaan agar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan di sekolah yang menerima bantuan kerajaan.  Cadangan Dato’ Zainal Abidin itu telah disokong oleh ahli majlis perundangan yang lain dan boleh dikatakan kesemua yang berucap bersetuju bahawa bahasa Melayu akan dapat menyatukan semua kaum di Tanah Melayu.”

(Faisal Rosman dan Che Ibrahim Salleh, 2011: 47)

Petikan tersebut menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan menjurus ke arah impak jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Bahasa Melayu bukan sahaja menggalakkan interaksi, namun dapat menyatukan semua kaum di Malaysia. Hal tersebut membuktikan bahawa dasar kerajaan yang dibentuk dapat menyokong pembangunan semua kumpulan etnik ke arah kestabilan dalam arena ekonomi, politik dan sosial. Oleh itu, bahasa Melayu dapat membentuk keharmonian sosial menerusi dasar yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi antara pelbagai etnik di Malaysia.

Jiwa Merdeka

“Jiwa merdeka” merujuk semangat atau perasaan kebebasan dalam diri individu. Hal tersebut merupakan keadaan seseorang berasa dirinya bebas daripada sesuatu belenggu serta mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan, mengemukakan idea dan mengekspresikan perasaan. Dalam konteks negara Malaysia yang berdaulat, “jiwa merdeka” merupakan simbolik yang mengingatkan rakyat tentang sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan yang gigih membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.

Tuntasnya, menerusi penghayatan semangat “jiwa merdeka”, rakyat Malaysia mengingati dan menghargai kebebasan yang dikecap, menuntut rakyat mempertahankan kedaulatan, memelihara perpaduan dan memastikan kemakmuran untuk semua pihak. Hal tersebut turut dapat dicapai menerusi penggunaan bahasa Melayu dalam berinteraksi sebagai integrasi kaum di Malaysia.

Menurut Mohd Ridhuan Tee Abdullah menerusi artikelnya bertajuk “Cabaran Integrasi antara kaum di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga dan Pendidikan” dalam Jurnal Hadhari (2010: 73), sejarah membuktikan sesuatu yang amat memeritkan dalam usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Penentangan demi penentangan dibuat oleh orang bukan Melayu. Dalam hal yang sama, orang bukan Melayu turut mahukan bahasa mereka diiktiraf sebagai bahasa rasmi.

Memetik kajian yang dijalankan oleh Lee Kam Hing dan Tan Chee-Beng (2000) dalam Ridhuan Tee Abdullah (2010: 68), Purcell (1997) berpendapat bahawa hal yang penting bagi mereka ialah sistem pendidikan melalui bahasa pengantar sendiri. Sentimen ini telah ditanam oleh semangat nasionalisme yang dirangsangkan melalui gerakan revolusi. Ekoran daripada itu, British memperkenalkan pula Laporan Barnes (1950) tentang pendidikan Melayu dan Laporan Fenn-Wu (1951) tentang pendidikan Cina. Laporan Barnes mencadangkan agar sistem pendidikan harus berteraskan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditentang hebat oleh orang Cina. Pada hakikatnya, bahasa Melayu berperanan penting dalam menyatukan pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa yang sama ketika berinteraksi turut berperanan menyatukan pelbagai etnik yang memahami antara satu sama lain. Hal ini bagi menjalin hubungan yang lebih erat dan bebas daripada pelbagai prasangka negatif. Menerusi aspek budaya pula, bahasa Melayu turut menjadi medium penyebaran nilai, tradisi dan adat resam yang dikongsi bersama. Tambahan lagi, bahasa Melayu juga menjadi simbol identiti bagi memperkukuh rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Mandiri dan Jati Diri

Setiap individu perlu mempunyai sikap mandiri dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan. Penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian persis menyeberangi jambatan emas, berjuang untuk mencapai kebahagiaan demi nusa dan bangsa. Bahasa Melayu juga dapat mencetuskan masyarakat pelbagai bangsa yang saling bertoleransi dan menghormati antara budaya. Pada hakikatnya, kepentingan bahasa Melayu dalam menyatukan pelbagai masyarakat di Malaysia tidak boleh dipandang ringan ke arah mengekalkan keharmonian dan kestabilan sosial di rantau ini.

Sejak negara menikmati arus kemerdekaan, penggunaan bahasa yang bebas daripada pengaruh luar menggambarkan kemandirian dan keutuhan jati diri. Misalnya, seseorang itu tidak mudah terpengaruh atau dipengaruhi oleh budaya asing. Implikasinya, bahasa yang bebas daripada pengaruh luar menandakan jiwa individu tersebut merdeka dan bangga dengan keunikan serta keaslian bahasa dan budayanya sendiri. Dimensi ini menggambarkan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi yang sarat dengan cerminan budaya yang unik dan istimewa.

Selain itu, penggunaan bahasa Melayu tanpa slanga atau pengaruh asing dapat membentuk “jiwa merdeka”. Hal tersebut kerana bahasa merupakan sebahagian daripada identiti sesuatu bangsa. Penggunaan bahasa yang asli dan murni membuktikan penghargaan dan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap warisan budaya dan sejarah negara. Kemerdekaan bukan sahaja soal bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian tetapi lebih berpaksikan kebebasan untuk memilih, menghormati budaya sendiri dan memperjuangkan hak serta identiti.

Realitinya, seseorang yang mampu berbahasa Inggeris atau pelbagai bahasa asing dilihat sebagai satu kelebihan. Namun demikian, hal tersebut tidak semestinya menandakan ketidakmerdekaan seseorang. Seperti yang kita sedia maklum, bahasa Inggeris sering digunakan sebagai alat komunikasi global. Walau bagaimanapun, fenomena tersebut tidak seharusnya menghapuskan atau mengabaikan kepentingan dan kedudukan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda. Konklusinya, seseorang itu tetap merdeka jika mereka menghargai identiti dan budaya mereka di samping menggunakan bahasa lain sebagai alat komunikasi tambahan untuk memperluas peluang dan pengetahuan.

Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.