4 September 2024, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kredit foto: Khairul Azhar

Bangi-“Istilah dan ilmu tidak dapat dipisahkan atau dengan kata lain ‘tiada ilmu tanpa istilah’. Penguasaan terhadap sesuatu bidang ilmu hanya mungkin tercapai jika konsep yang terkandung dalam sesuatu istilah itu difahami. Pembentukan istilah baharu dalam pelbagai bidang menjadikan bahasa Melayu lebih dinamik dan sekali gus mencerminkan upaya bahasa ini dalam mencorak budaya keilmuan dan pemikiran masyarakat.” Demikian pendirian Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Peristilahan (PERANTIS) 2024 pagi ini.

PERANTIS 2024 merupakan program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan mengangkat tema “Peristilahan dalam Era Kecerdasan Buatan dan Komunikasi Global” yang diadakan mulai hari ini hingga 5 September 2024 bertempat di Bangunan Canselori, UKM.

YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan ketika menyampaikan ucapan perasmian PERANTIS 2024.

Menurut YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan lagi, peristilahan merupakan wadah utama pembinaan dan perkembangan bahasa khasnya dalam pembinaan korpus bahasa. Usaha pembentukan istilah secara terancang bertujuan untuk memperkaya khazanah perbendaharaan kata bagi menampung keperluan pengguna bahasa Melayu dalam mendepani ledakan teknologi globalisasi.

Beliau turut menegaskan bahawa, “Satu daripada agenda penting untuk memperkasakan bahasa Melayu ialah pemasyarakatan istilah. Istilah yang dibentuk selama ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat pengguna bahasa Melayu dengan prinsip C-cipta, S-stor dan K-kongsi. Dengan itu, istilah yang dicipta dapat disebarluaskan dan pemasyarakatan istilah dapat dilaksanakan.”

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor menyatakan bahawa beliau mengharapkan agar persidangan ini dapat membuka lembaran baharu dalam dunia peristilahan walaupun usaha membentuk peristilahan telah lama dilakukan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majalis perasmian PERANTIS 2024, tengah hari ini.

“Sejak awal lagi, pakar-pakar bidang di UKM telah terlibat dalam pembentukan istilah bahasa Melayu meliputi pelbagai bidang yang diterajui oleh DBP. Melalui jawatankuasa peristilahan ini, telah melahirkan tokoh-tokoh yang  pakar peristilahan dalam pelbagai bidang di UKM.”

“Saya yakin sinergi seperti ini boleh dikembangkan dengan membangunkan program-program akademik yang boleh menawarkan program seperti sijil profesional dalam bidang peristilahan dan penterjemahan. Hal ini boleh menjadi platform untuk melatih pakar peristilahan yang mahir dalam memastikan ketepatan dan kefahaman yang seragam antara bahasa, selain mempertingkatkan kualiti terjemahan.”

Dalam majlis perasmian PERANTIS 2024 ini juga telah dilancarkan 12 buah buku istilah termasuklah Kamus Sains Marin, Daftar Istilah Pertanian Organik: Tanaman Makanan, Kamus Perikanan: Akuakultur dan Glosari Penerbitan.

YBrs. Puan Siti Azlina Abd. Latif,  YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, YBhg. YBrs. Dr. Hazami Jahari dan YBrs. Dr. Hasuria Che Omar.  bergambar bersama-sama koleksi buku istilah terbitan DBP yang dilancarkan hari ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam a/l A. Rajamanickam, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, YBrs. Puan Siti Azlina Abd. Latif, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, YBrs. Dr. Hasuria Che Omar, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk PERANTIS 2024, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs Encik M.Azahari Edin, pegawai-pegawai kanan jabatan DBP, UKM dan PETRONAS. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.