Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAsan, Korea Selatan – Sebanyak 14 pelajar, tiga pensyarah, dan seorang staf pengiring dari Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, (UIAM) Kampus Pagoh, Johor dengan kerjasama Universiti Sun Moon di Asan, Korea Selatan telah menyertai Program Mobiliti (Outbound) Komunikasi Silang Budaya Global di Korea Selatan selama 10 hari bermula dari 8 September hingga 17 September 2024.
Program ini dijalankan bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik serta menggalakkan pemahaman budaya antara pelajar kedua-dua universiti; memupuk komunikasi silang budaya dalam kalangan pelajar UIAM dengan pelajar antarabangsa, khususnya di Korea Selatan; memberikan peluang kepada para peserta untuk meluaskan pandangan mereka terhadap budaya global, meningkatkan kefahaman tentang perbezaan budaya, serta mengukuhkan hubungan diplomatik melalui pertukaran pelbagai aktiviti pendidikan dan sosial.
Antara aktiviti yang telah diaturkan dalam program ini termasuk kolokium akademik yang menjadi platform bagi para pelajar dari kedua-dua universiti berbincang dan saling bertukar pendapat tentang isu berkaitan dengan kebudayaan, pelancongan dan komunikasi global. Selain itu, program ini turut menampilkan permainan tradisional dari Malaysia dan Korea. Persembahan budaya, lawatan kampus dan program kemasyarakatan turut diadakan bagi memberikan peluang kepada para pelajar UIAM untuk memahami pendekatan pendidikan di Korea Selatan serta melihat potensi kerjasama akademik pada masa hadapan.
Selain aktiviti di kampus, para peserta turut berpeluang menjalankan program kemasyarakatan dengan menyertai aktiviti bersama-sama pelajar Muslim di Universiti Sun Moon. Program ini memberikan pendedahan tentang kehidupan sebagai Muslim di Korea Selatan dan cara komuniti Muslim berinteraksi dalam persekitaran yang berbeza budaya dan agama.
Program ini telah memberikan kesan yang positif kepada semua peserta. Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM Pagoh yang juga merangkap Penasihat Program, YBrs. Dr. Arina Johari, program ini tidak hanya membuka mata para pelajar tentang komunikasi silang budaya, malah turut memperkukuh hubungan antara UIAM dengan Universiti Sun Moon.
“Pengalaman ini sangat berharga kerana dapat memberikan peluang kepada pelajar melihat dunia dari perspektif yang berbeza dan memahami kepentingan komunikasi yang berkesan dalam dunia yang semakin global,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, dengan adanya program seperti ini, UIAM bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang berpengetahuan luas dalam aspek akademik, tetapi juga pelajar yang lebih peka terhadap sensitiviti budaya global, seterusnya menjadi duta budaya yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan dunia.