Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa rasmi Persekutuan. Ketetapan ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia di bawah Perkara 152. Hakikatnya, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi Persekutuan Malaysia berikutan persetujuan negeri-negeri Melayu untuk bersekutu bagi membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
Di sebalik kesediaan negeri-negeri Melayu untuk bersekutu, negeri-negeri Melayu tersebut merupakan negeri yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi negeri mereka. Oleh hal yang demikian, apabila negeri-negeri Melayu tersebut bersekutu bagi membentuk Persekutuan Malaysia, bahasa negeri-negeri tersebut dijadikan asas dalam menetapkan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia. Lantas, bahasa Melayu dipilih dan diangkat sebagai bahasa rasmi Persekutuan Malaysia. Senario ini merupakan rasionalisasi terhadap penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan Malaysia.
Sehubungan dengan itu, adalah tidak wajar jika terdapat pertikaian tentang kedudukan bahasa Melayu di Malaysia, apatah lagi penggunaan bahasa-bahasa lain adalah dihormati untuk digunakan. Sungguhpun demikian, bahasa Melayu sewajarnya diletakkan sesuai dengan martabatnya sebagai bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu pada kedudukan tertinggi berbanding dengan bahasa-bahasa lain di Malaysia.
Apabila bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, pastinya bangsa Malaysia perlu menjiwai bahasa tersebut sehingga sebati dalam diri mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahasa Melayu oleh bangsa Malaysia akan menzahirkan gambaran jiwa mereka. Berikutan itu, lahir pula ungkapan “bahasa menunjukkan bangsa” seperti yang diungkapkan menerusi pantun yang berikut:
Pantun tersebut mengaitkan antara budi dengan bahasa, iaitu bahasa yang indah menggambarkan bangsanya yang memiliki budi pekerti yang tinggi. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul serta mempunyai kualiti yang tinggi. Hal ini juga menunjukkan bangsa Malaysia memiliki ketinggian budi bahasa, budi pekerti, akal budi dan budi bicaranya.
Elemen ini menjadi asas kerukunan hidup bangsa Malaysia yang majmuk seperti yang tergambar pada ungkapan “orang berbudi, kita berbahasa”. Ungkapan ini amat harmonis dalam menggambarkan bahawa jiwa bangsa Malaysia yang bersifat “kesalingan” dalam interaksi sehari-hari, iaitu antara budi dengan bahasa. Oleh itu, keindahan hidup bangsa Malaysia yang digambarkan itu dapat dijelaskan lagi menerusi ungkapan “orang pandai berbahasa umpama makan nasi kemuli, orang tak pandai berbahasa umpama jari ditusuk duri”.
Secara umumnya, “Bahasa Jiwa Bangsa” merupakan ungkapan keramat dalam perjuangan bahasa di Malaysia. Walau bagaimanapun, sama ada ungkapan ini difahami oleh seluruh bangsa Malaysia ataupun tidak, hal ini masih lagi subjektif untuk dibahaskan. Walaupun begitu, ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” mahupun ungkapan “bahasa menunjukkan bangsa” boleh ditelusuri menerusi penggunaan bahasa Melayu dalam interaksi masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan etnik.
Penggunaan kata pada gelaran dan sapaan seperti “Tan Sri”, “Dato Sri”, “Tuan”, “Puan”, “Pak Long”, “Abang Ngah” dan sebagainya menggambarkan jiwa bangsa Malaysia yang mempunyai kesantunan yang tinggi pada bahasa dan pekerti. Kata gelaran dan sapaan ini mewujudkan keharmonian dalam perhubungan seharian antara ahli masyarakat. Hal ini sebagai bukti keluhuran budi bangsa Malaysia yang saling menghormati dengan mengambil kira hierarki dan status.
Selain itu, unsur bahasa yang boleh menggambarkan jiwa bangsa Malaysia juga boleh diperhatikan pada aspek pemilihan kata yang menjadi laras bahasa harian. Sebagai contoh, dalam penggunaan sesuatu bahasa banyak mengungkapkan frasa seperti “pempengaruh”, “kecerdasan buatan”, “digital” dan “robotik” telah mencerminkan jiwa bangsa Malaysia yang sudah terdedah kepada teknologi, khususnya teknologi pengaturcaraan.
Secara tidak langsung, situasi tersebut dapat memperlihatkan jiwa bangsa Malaysia yang bergerak ke arah kemajuan zaman atau era digitalisasi. Mungkin keadaan ini menjadi bukti bahawa bangsa Malaysia memiliki jiwa yang sentiasa ingin membawa negara dan bangsanya maju untuk berdiri sama tinggi atau duduk sama rendah dengan bangsa lain. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa tersebut telah menunjukkan kemajuan bangsa Malaysia seiring dengan perkembangan teknologi dunia.
Seterusnya, penggunaan ungkapan turut menjadi cerminan jiwa bangsa Malaysia atau menunjukkan bangsa Malaysia. Ungkapan yang menggambarkan konflik seperti “langkah mayat aku jika berani”, “jika tidak mohon maaf, tunggu di mahkamah”, “tiada sumber, jangan percaya” dan seumpamanya menjelaskan jiwa bangsa Malaysia yang berada dalam suasana yang tidak harmonis.
Ungkapan yang menggambarkan konflik tersebut juga menunjukkan kekacauan jiwa bangsa Malaysia yang mula tersasar daripada konsep bangsa yang bersopan santun dan berbudi pekerti. Oleh hal yang demikian, ungkapan yang menimbulkan konflik seperti yang disebutkan itu telah diingatkan dengan ungkapan “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”.
Kata-kata yang mengandungi konflik dan keluar daripada mulut akan mewujudkan sengketa. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menangani konflik dalam masyarakat dengan membimbing kesantunan bangsanya, sama ada pada bahasa ataupun tingkah laku.
Demikian juga sekiranya bangsa Malaysia mengujarkan ungkapan seperti “bersama-sama membina masyarakat MADANI”, “kita perlu melawan rasuah”, “jika roboh kota Melaka, papan di Jawa kami dirikan” dan seumpamanya menunjukkan bangsa Malaysia memiliki semangat patriotik yang tinggi, iaitu untuk memastikan Malaysia dalam keadaan yang mampan dan baik. Ungkapan ini juga menunjukkan bangsa Malaysia yang saling menuntut kesatuan hati demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa dan negara.
Sebagai kesimpulannya, bahasa Melayu sebagai bahasa Persekutuan Malaysia hendaklah diterima dengan kesedaran dan jiwa patriotik. Hal ini dapat dilakukan hanya dengan memahami dan memiliki sikap mahu menerima hakikat akan sejarah dalam penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tiada halangan untuk belajar dan menggunakan bahasa lain dalam majlis bukan rasmi tetapi sebagai bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri, jujur dan ikhlas terhadap pembinaan negara bangsa Malaysia, bahasa Melayu haruslah menjadi kebanggaan bagi setiap rakyat Malaysia. Hal ini juga menjadi manifestasi akan jiwa bangsa Malaysia yang akan tergambar pada bahasanya, iaitu bahasa Melayu.