Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa makna sesuatu kata dapat mengalami perubahan seiring dengan peredaran masa, iaitu secara diakronik. Misalnya, apabila kata “khalwat” mula-mula dipinjam daripada bahasa Arab, maknanya ialah perbuatan mengasingkan diri atau memencilkan diri di sesuatu tempat kerana beribadah, bertafakur, menenangkan fikiran dan sebagainya. Namun begitu, seiring dengan masa, makna kata “khalwat” telah mengalami perubahan.
Dengan berdasarkan Kamus Dewan Perdana, kata “khalwat” juga bermaksud hal atau perbuatan berdua-duaan di tempat yang terasing, atau di dalam rumah atau bilik, antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dan juga bukan suami isteri sehingga dapat menimbulkan fitnah.
Sebenarnya, terdapat beberapa jenis perubahan yang dapat berlaku pada makna kata, iaitu perubahan makna meluas, perubahan makna menyempit dan perubahan makna secara keseluruhan.
Perubahan Makna Meluas
Perubahan makna meluas terjadi apabila sesuatu kata yang mempunyai satu makna mempunyai makna lain. Contohnya, pada mulanya, kata “saudara” bermaksud orang yang sama ayah dan ibu. Kemudian, maknanya meluas sehingga merangkumi orang yang mempunyai pertalian darah atau hubungan kekeluargaan. Selanjutnya, kata “saudara” telah menjadi kata ganti nama diri orang kedua, iaitu satu bentuk panggilan terhadap lelaki.
Selain kata “saudara”, terdapat kata “peluncuran” yang sering digunakan oleh pihak kerajaan baru-baru ini yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kata “peluncuran” digunakan untuk menggantikan kata “pelancaran” yang bermaksud hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program.
Dalam konteks ini, kata “peluncuran” telah mengalami peluasan makna. Kata “peluncuran” yang sebelum ini membawa maksud tempat untuk meluncur dan perihal meluncur dapat digunakan sebagai variasi untuk menggantikan kata “pelancaran”. Ayat contohnya ialah “Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)”.
Dalam program Cakna Bahasa bertarikh 21 Mac 2024 yang dikendalikan oleh Bernama Radio, Dr. Rusmadi Baharudin selaku Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan bahawa kata “koyak” telah mengalami peluasan makna.
Menurut beliau, kini, kata “koyak” dikaitkan dengan aspek emosi dan perasaan, iaitu menggambarkan perasaan seseorang yang terkesan atau sedih selepas dikutuk atau ditertawakan. Makna ini menjadi tular selepas rakyat Malaysia menggunakannya untuk mengutuk Israel yang “koyak” dengan komen yang dilontarkan oleh netizen terhadap mereka. Di samping itu, makna ini menjadi begitu popular sehingga disenaraikan dalam Urban Dictionary, iaitu laman sesawang yang merakam kata sohor kini yang kerap digunakan oleh netizen.
Walau bagaimanapun, makna ini tidak terakam dalam Kamus Dewan Perdana. Hal ini dikatakan demikian kerana perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya dalam kalangan masyarakat.
Perubahan Makna Menyempit
Perubahan makna menyempit terjadi apabila sesuatu kata yang pada mulanya mempunyai makna yang luas menjadi makin terbatas seiring dengan peredaran masa. Contoh kata yang mengalami penyempitan makna ialah “sarjana”. Pada mulanya, kata “sarjana” digunakan untuk merujuk orang yang pandai-pandai, ahli dalam ilmu pengetahuan atau cendekiawan. Kini, kata “sarjana” lazimnya telah disempitkan untuk merujuk orang yang telah lulus ijazah pertama, seperti Sarjana Muda Sains dan Sarjana Muda Sastera, atau orang yang memegang ijazah kedua, iaitu tahap pengajian akademik selepas ijazah pertama di institusi pengajian tinggi, seperti Sarjana Ekonomi dan Sarjana Kejuruteraan Awam.
Perubahan Makna Secara Keseluruhan
Perubahan makna secara keseluruhan terjadi apabila makna sesuatu kata mengalami perubahan sehingga berbeza daripada makna asalnya. Misalnya, makna asal kata “canggih” ialah terlalu banyak bercakap atau cerewet. Selepas mengalami perubahan makna secara keseluruhan, maknanya berbeza sama sekali. Dengan berdasarkan Kamus Dewan Perdana, kata “canggih”, kini bermaksud:
(i) maju dan moden, serta mampu melaksanakan tugas atau fungsi yang kompleks (berkaitan dengan peralatan, kenderaan, sistem dan lain-lain)
(ii) mempunyai pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang moden dan hebat
(iii) hebat, moden, menarik dan seiring dengan perkembangan semasa
Selain itu, kata “pena” juga mengalami perubahan makna secara keseluruhan. Makna asalnya ialah bulu kerana pada suatu ketika dahulu, orang menulis dengan dakwat dan menggunakan bulu ayam atau bulu angsa sebagai alatnya. Dalam bahasa Sanskrit, kata “bulu” disebut sebagai pena. Selepas mengalami perubahan makna secara keseluruhan, maknanya dengan berdasarkan Kamus Dewan Perdana ialah pen, iaitu sejenis alat tulis.
Sebagai kesimpulannya, perubahan makna yang bersifat meluas, menyempit atau perubahan menyeluruh melibatkan kata atau ungkapan yang tetap. Yang berubah hanyalah makna yang didukungnya. Pengguna bahasa Melayu perlu cakna akan perubahan makna yang berlaku pada kata atau ungkapan tertentu seiring dengan peredaran masa agar dapat menyampaikan sesuatu secara bermakna, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham.