Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak akhir-akhir ini, penggunaan bahasa Melayu standard makin berkurang dalam kalangan masyarakat, terutamanya di sekolah vernakular. Hal ini bukanlah perkara baharu kerana terdapat beberapa orang pengkaji bahasa yang pernah mengkaji isu ini sebelum ini.
Sekolah vernakular biasanya menggunakan bahasa ibundanya. Hal ini ditegaskan oleh Hashim Musa dan Rozita Che Rodi dalam makalah “Peranan Bahasa Melayu dan Legasi Sejarah Penubuhan Malaysia dalam Penyemaian Cinta akan Negara Bangsa Malaysia” yang menyatakan bahawa sekolah vernakular merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan di sekolah.
Rentetan daripada keadaan tersebut, murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kurang didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu. Hal ini menjadi satu daripada punca kurangnya pengetahuan murid terhadap bahasa Melayu.
Menurut Shamsatun Nahar Ahmad dalam makalah “Sekolah Vernakular Punca Bahasa Melayu Terpinggir”, bahasa kebangsaan mustahil dimartabatkan di sekolah vernakular disebabkan oleh penggunaan bahasa ibunda. Namun begitu, terdapat beberapa strategi untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu di sekolah vernakular.
Antara strategi yang dapat dilakukan untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu di sekolah vernakular termasuklah pihak sekolah perlu menetapkan hari penggunaan bahasa Melayu pada setiap minggu. Murid dan guru perlu berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu pada hari yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Pada hari berkenaan juga, pihak sekolah boleh mengadakan program membaca bahan bacaan bahasa Melayu bagi tempoh 15 minit. Antara bahan bacaan yang dapat digunakan termasuklah buku cerita, majalah dan akhbar. Menerusi pelaksanaan program seperti ini, jumlah kosa kata bahasa Melayu murid di sekolah vernakular akan meningkat. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dapat dilestarikan di sekolah vernakular.
Selain itu, pihak kerajaan haruslah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular. Hal ini dikatakan demikian kerana bukan satu kaum sahaja yang bersekolah di sekolah vernakular, tetapi terdapat pelbagai kaum yang bersekolah di sekolah tersebut. Sebagai contoh, murid sekolah vernakular terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya.
Radzi Jidin menyatakan bahawa pendaftaran murid Melayu di sekolah SJKC ialah 15.33 peratus, murid India ialah 2.75 peratus dan murid Cina sebanyak 80.25 peratus pada tahun 2020. Sekiranya sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, masyarakat Malaysia lepasan sekolah ini akan lebih fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Bukan itu sahaja, menerusi kaedah ini, murid daripada pelbagai kaum juga akan lebih didedahkan dengan bahasa Melayu melalui pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mampu melestarikan penguasaan bahasa Melayu murid di sekolah vernakular.
Di samping itu, ibu bapa perlu memotivasikan anak dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan individu yang paling banyak meluangkan masa dengan anak berbanding dengan guru di sekolah. Oleh itu, ibu bapa mampu mempengaruhi anak untuk melakukan perkara yang positif kerana anak akan mematuhi suruhan ibu bapanya.
Selain itu, ibu bapa boleh memotivasikan anak dengan cara membawanya ke perpustakaan dan menyediakan bahan rujukan untuk menyiapkan tugasan Bahasa Melayu. Kesannya, anak akan bersemangat dan berminat dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Hal ini terbukti apabila Mageret Lo dan Ruhizan M. Yasin dalam makalah “Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti, serta Hubungannya dengan Motivasi Murid SJKC Sepanjang PdPR” menyatakan bahawa kata rangsangan, pujian dan dorongan daripada ibu bapa merupakan antara peneguhan positif bagi meningkatkan motivasi anak dalam pembelajaran Bahasa Melayu.
Tambah pengkaji itu lagi, dengan kata-kata dorongan dan rangsangan daripada ibu bapa, anak berasa yakin dengan pembelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, ibu bapa perlu cakna tentang perkara ini kerana mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan satu daripada mata pelajaran yang wajib dipelajari di sekolah vernakular. Jika perkara ini diabaikan, prestasi akademik anak di sekolah vernakular akan menurun.
Selanjutnya, Persatuan Bahasa Melayu di sekolah vernakular perlu mengadakan karnival bahasa Melayu. Karnival ini boleh diadakan dalam tempoh sebulan. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak persatuan dapat merancang pelbagai aktiviti untuk menarik minat murid di sekolah vernakular supaya terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan.
Antara aktiviti yang dapat dianjurkan termasuklah pameran buku, klinik bahasa, pertandingan syarahan, deklamasi sajak dan bercerita. Ganjaran pula dapat disediakan kepada pemenang dalam pelbagai bentuk, seperti pingat, duit dan hamper.
Selain itu, Persatuan Bahasa Melayu juga boleh menjemput tokoh bahasa Melayu untuk berkongsi pengetahuan yang lebih mendalam tentang bahasa dan menjawab segala persoalan murid. Secara tidak langsung, murid akan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan, di samping dapat mencungkil bakat yang ada dalam diri murid di sekolah vernakular. Oleh itu, murid daripada pelbagai kaum akan berminat dengan bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di sekolah vernakular.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa Melayu di sekolah vernakular merupakan usaha yang amat penting untuk memartabatkan bahasa ini tanpa mengira kaum. Oleh itu, bahasa Melayu perlu terus diperkasakan penggunaannya di sekolah vernakular sebagai bahasa ilmu kerana bahan ilmu dalam bahasa Melayu berupaya mengisi keperluan negara, khususnya untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran, serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.