11 Oktober 2024, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muar – Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024 yang julung-julung kali diadakan merupakan usaha mampan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha mengukuhkan lagi ikatan dan kebersamaan untuk terus meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang sewajarnya.

Demikian ucapan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa merasmikan Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024 di Hotel Classic Muar, Johor, petang tadi.

YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024.

Dalam ucapan beliau, YBrs. Dr. Hazami menegaskan tentang keperluan perbincangan yang berterusan dalam kalangan penulis dan pejuang bahasa demi memastikan bahasa kebangsaan dan sastera dipertahankan dan dimartabatkan.

Adalah menjadi tanggungjawab kita dalam kalangan penulis untuk terus mempertahankan kedaulatan dan meletakkan bahasa kebangsaan di tempat yang sewajarnya.

Menyifatkan pelanggaran arahan dan peraturan tentang kebahasaan sebagai cabaran besar buat DBP, YBrs. Dr. Hazami berharap agar konvensyen ini dapat mendesak golongan yang ingkar agar kembali menerima kedudukan bahasa Melayu.

Kita juga perlu meletakkan pedang perjuangan setajam-tajamnya untuk memastikan bahawa hak dan maruah bangsa dan bahasa dimartabatkan.

“DBP akan terus seiring dengan mana-mana badan bukan kerajaan serta persatuan yang ingin melaksanakan kegiatan kebahasaan yang selaras dengan dasar-dasar kerajaan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri yang jelas mendukung aspirasi DBP untuk terus memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Pada masa yang sama, melalui ucapan Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ) merangkap Pengerusi Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah, beliau menyatakan bahawa matlamat konvensyen ini juga adalah untuk membincangkan tentang cabaran dalam konsep gagasan Malaysia MADANI yang menjadi pemangkin terhadap pemartabatan bahasa pada masa akan datang.

Ketua Satu PPJ, Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah menyeru masyarakat supaya menghayati Rukun Negara yang dilafazkan.

Menyentuh tentang golongan yang sering memandang remeh isu bahasa, beliau menyifatkan bahawa golongan ini memungkiri ikrar Rukun Negara yang jelas menyatakan tentang keluhuran perlembagaan, yang terkandung di dalamnya akta tentang bahasa.

Setiap kali Rukun Negara dilafazkan, mereka juga perlu diperjelas tentang makna Rukun Negara, bukan sekadar melafazkan tanpa mengetahui maknanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kebersamaan DBP yang sentiasa menyokong aktiviti dan kegiatan kebahasaan yang digerakkan oleh PPJ.

Majlis ini turut diserikan dengan majlis pelancaran Antologi Puisi Melayu Tradisional, Nazam Utusan Ummah serta penyampaian hadiah dan sijil kepada jawatankuasa penyelenggara penerbitan antologi, penyampaian sijil penghargaan Penulis Remaja Terbaik serta penghargaan khas kepada tiga orang penulis luar negara dari Singapura dan Indonesia.

YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan sijil penghargaan kepada Nur Syadza Zahira Mohd Rosli, Penulis Remaja Terbaik selari dengan satu daripada tonggak Maju Johor.
Barisan tetamu kehormat termasuklah Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah (lima dari kiri), YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (enam dari kiri), YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Awang Sariyan (tujuh dari kiri) dan YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab; dan Setiausaha Agung GAPENA, En. Zainal Jais.

 

Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.