12 Oktober 2024, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muar – Pengukuhan sastera dalam jalur pendidikan dan industri merupakan tunjang kepada pembentukan nilai di samping berperanan sebagai komponen utama dalam pemerkasaan budaya dan ekonomi dalam gagasan MADANI.

Melalui Sesi II forum dengan tema “Pemerkasaan Sastera Kebangsaan” bersempena dengan Konvensyen Bahasa dan Persuratan MADANI 2024, Presiden Pertubuhan Penulis Budiman Malaysia, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali memberikan penegasan tentang keperluan pengekalan subjek kesusasteraan di sekolah dalam mewariskan budaya dan peradaban kepada generasi seterusnya.

Presiden Pertubuhan Penulis Budiman Malaysia, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali.

Hal ini kerana kebimbangan tentang kedudukan sastera yang seolah-olah “dianaktirikan” di institusi pendidikan, terutamanya pada peringkat sekolah berbanding dengan subjek lain.

Sastera di luar sistem tiada masalah, tetapi dalam sistem pendidikan, kedudukan sastera itu ada masalah.

Menurut Prof. Dr. Abdul Halim, kebimbangan tersebut dipengaruhi oleh faktor statistik yang menunjukkan bahawa sekolah yang menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu semakin berkurangan.

Tiada sebarang bukti kukuh yang dapat disertakan dengan alasan yang diberikan dan  mereka juga mempersoalkan tentang jaminan kerjaya bagi murid yang mengikuti bidang sastera Melayu.

Menurut Presiden BAHASA Sabah, YBhg. Datuk Jasni Matlani pula, perihal kesatuan dan kuasa dalam memperkasa sastera tanpa mengira apa-apa pun kepimpinan atau gagasan adalah penting bagi menunjukkan jati diri bangsa.

Presiden BAHASA Sabah, YBhg. Datuk Jasni Matlani.

Datuk Jasni turut menyeru persatuan untuk mendekati kepimpinan dalam mencari kuasa untuk memperkasa sastera dan bukan hanya mencantas dan membangkang kepimpinan tersebut.

Selain itu, pemerkasaan sastera melalui pemerkasaan industri dan pemupukan pembacaan turut diusulkan oleh Presiden Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, Prof. Adjung Ishak Hamzah dalam memanusiakan bangsa.

Pemupukan elemen sastera perlu seiring dengan pendidikan dan bukan sekadar sekunder.

Presiden Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur, Prof. Adjung Ishak Hamzah.

Menurut beliau, kursus sastera di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak seharusnya dihadkan kepada pelajar bidang tersebut sahaja, namun harus digalakkan mengambil subjek sastera sebagai subjek universiti untuk pemupukan nilai insaniah dalam diri.

Dorongan membaca termasuklah pembacaan karya sastera dalam kalangan penjawat awam juga boleh dijalankan termasuklah dengan pemberian insentif sebagai galakan supaya amalan membaca terus diperkukuh.

Ujar Prof. Adjung Ishak Hamzah lagi, pemupukan nilai sastera pada peringkat sekolah rendah juga perlu dilihat semula, memadai dengan penerapan dalam subjek Bahasa Melayu, namun tidak terlalu berat.

Sesi II forum ini dipengerusikan oleh Ketua Dua PELITA Terengganu, Encik Abd. Mubin Ismail yang bertindak sebagai moderator.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.