Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPenggunaan bahasa santun amat penting dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Menerusi penggunaan bahasa santun, keharmonian sosial yang menjadi teras perpaduan masyarakat dapat dipelihara. Oleh itu, setiap orang perlu mempelajari penggunaan bahasa santun untuk mengekalkan kesejahteraan dan mengelakkan pergaduhan.
Kebijaksanaan ketika menggunakan bahasa penuh santun merupakan hasil keupayaan berfikir secara mandiri, pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara dan kematangan ketika membicarakan sesuatu isu. Menerusi elemen ini, seseorang itu mampu memilih kata yang tepat untuk memastikan orang yang berkomunikasi dengannya berasa selesa.
Biasanya, individu yang bersifat santun dalam berbicara ini memiliki ciri tertentu. Antaranya termasuklah bijak memilih kata yang bersesuaian, mengutamakan adab apabila ingin menyampuk perbualan orang lain, bersikap rendah diri walaupun mempunyai pengetahuan tentang sesuatu isu dan bersikap sensitif terhadap penggunaan kata yang digunakan oleh orang lain. Kelebihan ini akan mencetuskan perbualan yang harmoni dan menonjolkan watak profesional seseorang.
Dalam sesetengah keadaan, penutur dialek Melayu menggunakan partikel tertentu pada hujung ayat untuk melambangkan rasa hormat dan hubungan yang erat walaupun partikel itu tidak mempunyai maksud. Sebagai contoh, partikel “deh” atau “weh” dalam dialek Hulu Kelantan dan “na” dalam dialek Pulau Pinang yang hadir pada hujung ayat.
Selain itu, terdapat beberapa kata keramat yang mudah dituturkan, tetapi sering diabaikan ketika meminta bantuan orang lain, sedangkan kata itu melambangkan kesantunan penuturnya. Sebagai contoh, penggunaan kata “tolong”, “minta”, “harap” dan “mohon”.
Kini, kata keramat ini jarang-jarang digunakan disebabkan oleh adanya pandangan tentang keperluan untuk bertutur atau berkomunikasi secara terus tanpa perlu berbasa-basi. Hakikatnya, sekiranya seseorang itu mendengar atau membaca kata keramat ini apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu, orang tersebut akan berasa dihargai. Kesannya, orang yang diarahkan itu bukan sahaja tidak akan melakukan pekerjaan tersebut secara terpaksa, malah akan lebih menghormati orang yang memberikan arahan tersebut.
Komunikasi secara santun juga menunjukkan seseorang itu mampu menjaga maruah dirinya. Dalam komunikasi secara santun ini, penutur dan lawan tutur akan mewujudkan perbualan dan sesi perbincangan yang sihat. Kedua-dua pihak akan sentiasa berhati-hati ketika menuturkan kata agar tidak menyinggung perasaan orang lain.
Penggunaan intonasi yang tepat ketika berbicara juga menunjukkan seseorang itu menjaga kesantunan bahasanya. Kesantunan terserlah menerusi penggunaan intonasi yang lebih tinggi untuk menunjukkan sesuatu yang penting dan intonasi yang mendatar apabila menjelaskan sesuatu. Walaupun intonasinya tinggi, kesantunan masih kekal terjaga sekiranya tiada unsur tengkingan atau kata yang kasar.
Bicara yang santun juga tidak akan mewujudkan salah faham kerana penuturnya mengetahui cara bercakap yang sopan. Dalam hal ini, masyarakat zaman dahulu lebih menjaga santunnya dalam berbicara. Masyarakat pada waktu itu lebih suka menggunakan ayat yang berlapik dan kata yang mengandungi maksud tersirat.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila bahasa Melayu kaya dengan peribahasa, simpulan bahasa dan perumpamaan. Ciri ini menjadikan bahasa Melayu unik dan indah kerana mempunyai hikmah, kearifan, pedoman, nasihat, petunjuk dan petua daripada orang terdahulu. Perkara ini sewajarnya dikekalkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, amalan untuk berbicara secara santun mampu menahan seseorang itu daripada mendedahkan aib orang lain dan menonjolkan kelemahan diri sendiri. Seseorang itu akan memilih kata yang sopan, sama ada ketika ingin memberikan nasihat dan menerangkan sesuatu, atau ketika ingin menyindir, mengkritik dan menegur orang lain. Oleh itu, tidak hairanlah apabila banyak golongan yang berjaya, seperti orang kenamaan, ketua jabatan, pegawai eksekutif dan pemimpin negara, mampu bercakap dengan baiknya apabila mengamalkan penggunaan bahasa yang santun.
Seseorang itu juga kelihatan santun apabila menggunakan kata yang tepat ketika ingin memberikan maklum balas terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, maklum balas, seperti “Saya akan cuba buat” lebih sopan berbanding dengan “Saya sibuk” ketika diminta untuk melakukan sesuatu. Selain itu, maklum balas “Saya kurang faham” lebih sopan berbanding dengan “Saya tidak faham” apabila ditanya tentang sesuatu.
Dengan erti kata yang lain, bahasa yang santun ini mewujudkan kesan komunikasi yang baik. Dalam hal ini, seseorang itu akan dipandang lebih hebat sekiranya mampu memberikan maklum balas dengan berbicara secara santun walaupun lawan tuturnya berbicara secara tidak santun terhadapnya. Tambahan pula, kuasa santun dalam penggunaan bahasa tidak boleh diremehkan kerana mampu meredakan komunikasi yang “panas” dan menjadi senjata untuk kelihatan hebat.
Kemampuan untuk berbicara secara santun juga membuka ruang untuk seseorang itu dikenali dan mencerminkan kedudukan orang tersebut. Makin bijak seseorang itu berkata-kata, makin meningkatlah keyakinan orang lain terhadap orang itu. Hal ini dikatakan demikian kerana orang yang bijak berkata-kata mampu memberikan rangsangan kepada orang lain.
Di Malaysia, banyak orang yang santun apabila berkata-kata. Antaranya termasuklah Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Haji Awang Sariyan, Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim. Walaupun bergelar tokoh ilmuwan, kesantunan dalam berbahasa kekal terpelihara. Ciri ini harus dicontohi, sama ada ketika berbicara tentang hal akademik atau ketika menggunakan media sosial.
Kesimpulannya, amalan untuk berbicara secara santun tidak sukar diamalkan sekiranya seseorang itu mahu melakukannya dan selalu berusaha untuk menjaga bahasa. Yang penting, amalan ini harus diamalkan secara berterusan sehingga menjadi tabiat dan gaya hidup. Kesannya, manusia akan hidup secara harmoni tanpa ada sesiapa yang rasa disakiti.