24 Oktober 2024, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Aspek undang-undang dan teknologi menjadi penentu kemapanan bahasa Melayu untuk terus kekal relevan dan maju ke hadapan merupakan sebahagian daripada subjek yang signifikan dalam Seminar Perancangan Bahasa Kebangsaan 2024, yang berlangsung di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Menurut Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam A. Rajamanickam, kesenjangan dalam undang-undang masih wujud walaupun usaha telah diambil untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam negara.

Beliau berkata,

Kesenjangan tersebut wujud dalam dua bentuk, iaitu kesenjangan dalam undang-undang yang sedia ada dan yang kedua kesenjangan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Kesenjangan dalam undang-undang yang sedia ada melibatkan empat aspek utama, iaitu pertama, ketiadaan peruntukan tentang penalti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang; kedua, peruntukan yang memberikan kuasa budi bicara yang luas; ketiga, kekaburan daripada segi tafsiran; dan keempat,  peruntukan undang-undang yang tidak menyeluruh.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa terdapat jurang penggunaan bahasa kebangsaan dalam penguatkuasaan undang-undang di mahkamah, perkhidmatan awam, papan tanda, iklan, penamaan tempat dan bahasa ilmu dalam negara.

Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Ramalinggam A. Rajamanickam ketika membentangkan kertas kerja beliau, iaitu “Pemartabatan Bahasa Kebangsaan di Malaysia: Kesenjangan Undang-undang”.

Kesenjangan yang telah dilontarkan turut disokong oleh Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Encik Muhamad Hisham Marzuki yang menjelaskan masalah berkaitan dengan bahasa yang timbul dalam institusi kehakiman.

Antara masalah yang timbul termasuklah kedudukan bahasa kebangsaan tidak jelas dalam bidang kehakiman, kesukaran para pengamal undang-undang dan hakim untuk membudayakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi mahkamah dan kekeliruan tafsiran nas undang-undang daripada teks bahasa Inggeris.

Ujar beliau,

Jadi, (perlembagaan) yang kita gunakan hari ini ialah hasil daripada peninggalan prakemerdekaan menyebabkan hakim, pengamal undang-undang, peguam dan orang awam terpaksa merujuk lenggok gaya, bahasa, tafsiran dan terjemahan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Oleh itu, Perkara 160B dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya meningkatkan penggunaan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Idrus Harun pada Januari 2023 telah mencadangkan supaya terjemahan perlembagaan negara dalam bahasa kebangsaan dijadikan sebagai naskhah sahih dan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan.

“Walau bagaimanapun, usaha tersebut terhenti setakat itu sahaja dan tiada perkembangan hingga hari ini walaupun pelbagai pertemuan dengan pihak berkepentingan kerana banyak faktor seperti kemahuan politik (political will) dan kepentingan lain yang perlu diambil kira,” ujarnya.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Encik Muhamad Hisham Marzuki ketika membentangkan kertas kerja beliau, iaitu “Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan: Hala Tuju Pasca-67 Tahun Kemerdekaan Malaysia.”

Sementara itu, Encik Khairil Iszuddin Ismail turut berkongsi tentang cabaran dalam penulisan buku berkaitan dengan teknologi maklumat, khususnya dalam bidang pengaturcaraan (programming) dengan menggunakan bahasa Melayu.

Penulisan buku dalam bidang teknologi maklumat amat penting untuk menyampaikan ilmu daripada sumber bukan bahasa Melayu kepada pengamal tulen bahasa Melayu serta membantu melahirkan rakyat Malaysia yang bijak dan pandai terhadap sumber penulisan asal bahasa Inggeris.

Bahkan, bidang teknologi maklumat perlu mengambil kira cabaran seperti perbezaan budaya dan gaya hidup antara sumber ilmu dengan pengamal bahasa Melayu moden serta kekeliruan dalam terjemahan literal yang menghilangkan konteks.

YBrs. Encik Khairil Iszuddin Ismail dari Taming Tech Sendirian Berhad membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Cabaran dan Strategi Penulisan Buku Pengaturcaraan dalam Bahasa Melayu.”

Di samping itu, Encik Ahmad Khalil Mohamad Nooh melihat potensi pembangunan kecerdasan buatan perlu disesuaikan dengan norma tempatan tanpa merujuk acuan Barat, khususnya dalam landskap linguistik Malaysia yang terdiri daripada bahasa Melayu, tulisan Jawi, bahasa etnik dan dialek negeri.

Isu translationese atau dikenali terjemahan mesin dalam pembangunan kecerdasan buatan telah menimbulkan masalah tafsiran makna yang berbeza terhadap ungkapan dan frasa bahasa Melayu seperti peribahasa.

Ujar beliau,

Sebabnya ialah teknologi kecerdasan buatan akan menterjemahkan (bahasa asing) secara harfiah dan berbentuk literal dan keadaan tersebut terus berlaku jika tiada model bahasa raya atau large language model (LLM) yang khusus untuk bahasa tersebut yang menjadi asas.

Pembangunan kecerdasan buatan melalui LLM telah membawa kepada kerjasama berkembar antara pakar teknologi yang meningkatkan kecekapan teknikal dan kualiti output model kecerdasan buatan dengan munsyi yang memelihara dan mempromosikan bahasa Melayu.

Beliau mencadangkan tiga perkara dalam konteks penyelidikan dan pembangunan LLM yang boleh dilaksanakan di DBP pada masa hadapan, iaitu model bahasa raya khusus untuk bahasa Melayu standard, kurasi data khusus budaya dan perkhidmatan bahasa yang dikuasai oleh kecerdasan buatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mesolitica, Encik Ahmad Khalil Mohamad Nooh yang juga merupakan pakar industri teknologi membentangkan kertas kerja beliau, iaitu “Memelihara Integriti Linguistik dalam Model Bahasa Raya: Amalan Kurasi Data untuk Pembangunan Kecerdasan Buatan Bahasa di Malaysia.”
Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.