Diterbitkan pada 28 Oktober 2024, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Pengajuran Karnival Megah Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 pada 23−24 Oktober 2024 yang lalu adalah bertujuan untuk membugarkan semangat cintakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai pelapis pemimpin masa hadapan dan golongan penjawat awam yang banyak terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Antara peserta pertandingan Jaguh Jawi.

Pelbagai program pengisian yang menarik telah dirangka oleh DBP Cawangan Sabah, termasuklah Pertandingan Jaguh Jawi, Kuiz Terbuka dan Jejak Bahasa Jiwa Bangsa yang diadakan di Kompleks DBP Cawangan Sabah.

Antara peserta Kuiz Terbuka.

Hari pertama karnival dibuka dengan Pertandingan Jaguh Jawi yang bermatlamat untuk mengasah kemahiran tulisan Jawi dalam kalangan pelajar lingkungan tingkatan satu hingga tingkatan tiga di sekitar Kota Kinabalu.

Aksi peserta Jejak Bahasa Jiwa Bangsa.

Pengisian seterusnya ialah Kuiz Terbuka yang dilaksanakan dengan objektif untuk menguji pengetahuan masyarakat tentang bahasa dan sastera.

Selain itu, kuiz yang dikendalikan dengan kerjasama juruhebah dari Ging Bubut SabahFM ini menawarkan hadiah berbentuk buku terbitan DBP dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai peringkat masyarakat.

Aksi peserta Kuiz Terbuka.

Pada hari kedua pula, diadakan program Jejak Bahasa Jiwa Bangsa, sebuah program tahunan berbentuk aktiviti menjejak maklumat sambil menyelesaikan tugasan yang menerima penyertaan menggalakkan daripada 12 buah jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Aksi peserta ketika menyelesaikan Tugasan 2.

Sementara itu, johan Jejak Bahasa Jiwa Bangsa dirangkul oleh pasukan Elopura yang mewakili Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang membawa pulang wang tunai RM1,200.00, pingat emas dan sijil penghargaan.

Naib johan pula dimenangi oleh pasukan Lumadan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dengan hadiah wang tunai RM900.00, pingat perak dan sijil penghargaan, manakala tempat ketiga jatuh kepada pasukan Membakut dari Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah yang menerima hadiah wang tunai RM750.00, pingat gangsa dan sijil penghargaan.

Johan Jejak Bahasa Jiwa Bangsa.

Sembilan pasukan lain yang mewakili jabatan masing-masing turut menerima hadiah sagu hati, iaitu wang tunai bernilai RM450.00 bagi setiap pasukan berserta pingat dan sijil penghargaan.

Jalinan strategik antara DBP Cawangan Sabah dengan jabatan lain melalui karnival seumpama ini memaparkan pentingnya usaha pemartabatan bahasa kebangsaan dilaksanakan melalui pelbagai kegiatan sohor kini yang dapat mendidik sambil menghiburkan khalayak sasaran.

Aksi peserta ketika menyelesaikan Tugasan 1.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi