Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDengan berdasarkan Kamus Dewan Perdana, bahasa kebangsaan ditakrifkan sebagai bahasa yang diterima sebagai bahasa utama bagi sesebuah negara berdaulat yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat, dan menjadi lambang keperibadian negara tersebut berdasarkan faktor sejarah atau perisytiharan kerajaan. Misalnya, bahasa kebangsaan negara Jepun ialah bahasa Jepun (Nihongo), bahasa kebangsaan negara Brazil ialah bahasa Portugis, manakala bahasa kebangsaan negara Kemboja ialah bahasa Khmer. Bahasa Melayu pula merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Persoalannya, apakah faktor bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan?
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa faktor sejarah mempengaruhi pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada zaman Srivijaya dan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu merupakan lingua franca, iaitu bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat yang menggunakan bahasa yang berbeza-beza. Hal ini dikatakan demikian kerana Kepulauan Melayu pada masa itu berfungsi sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan pusat pengembangan ilmu, serta wujudnya hubungan diplomatik antarabangsa.
Kesannya, bahasa Melayu mencapai taraf keantarabangsaan, yakni digunakan secara meluas sehingga melampaui sempadan negara. Oleh hal yang demikian, peranan bahasa Melayu pada abad ke-16 disamakan dengan peranan bahasa Latin dan bahasa Perancis di Eropah pada masa itu.
Di samping itu, bahasa Melayu tinggi telah wujud untuk pelbagai ranah tamadun di Kepulauan Melayu sejak abad ketujuh. Hal ini dapat dibuktikan apabila bahasa Melayu tinggi turut digunakan dalam persuratan Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Di samping itu, faktor endoglosia juga satu daripada faktor yang mempengaruhi pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sebenarnya, faktor endoglosia bermaksud asas keperibumian bahasa Melayu di Malaysia. Hal ini bermakna, bahasa Melayu ialah bahasa yang digunakan oleh penduduk peribumi di negara Malaysia, yakni penduduk yang berbangsa Melayu.
Faktor seterusnya ialah kontrak sosial yang merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan hal ini telah disetujui bersama oleh semua kaum di Malaysia. Dengan berdasarkan Kamus Dewan Perdana, kontrak sosial merujuk persetujuan yang dicapai antara pihak yang berkepentingan untuk membentuk suatu masyarakat yang padu dan sejahtera dengan setiap pihak bersedia untuk bertolak ansur, serta mengetepikan kepentingan peribadi tertentu.
Perkara ini telah dijadikan sebagai sebahagian daripada manifesto Parti Perikatan semasa menghadapi pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955 (Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan 1955) dan sememangnya diterima baik oleh penduduk Tanah Melayu pada masa itu.
Selepas rundingan London pada tahun 1956 bagi menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan British dengan persetujuan Raja-raja Melayu telah mengumumkan pembentukan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Antara tugas suruhanjaya tersebut termasuklah membincangkan, menyusun dan merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Dalam usaha membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, satu perjanjian telah ditandatangani pada 5 Ogos 1957 yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Kedudukan bahasa Melayu adalah antara inti pati utama yang terkandung dalam perjanjian itu.
Dalam perjanjian tersebut, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama, bahasa Melayu juga dijadikan bahasa pengantar dan bahasa komunikasi. Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.
Sementara itu, perancangan bahasa di Malaysia menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan 1957, Perkara 152. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) pula menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Oleh itu, bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi.
Tambahan pula, bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa ilmu seperti yang termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu sudah pastinya mengukuhkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang melambangkan jati diri rakyat Malaysia.
Demikianlah penjelasan tentang beberapa faktor yang mempengaruhi pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia. Oleh itu, rakyat Malaysia harus menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Janganlah terlalu mengagung-agungkan bahasa asing dan bahasa ibunda masing-masing sehingga bahasa kebangsaan diabaikan sama sekali sebagaimana yang digambarkan oleh Razali Mohd Yussof dalam sajaknya yang bertajuk “Aku Membaca Lagi”. Dalam karyanya itu, Razali menggambarkan kesedihan yang berlaku apabila mengenangkan nasib bahasa Melayu.
Sebagai pedoman untuk seluruh rakyat Malaysia, hayatilah petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan pada 6 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak.
Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan penekanan atau meremehkan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi saya tidak mendukung satu sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri dan mengagungkan bahasa lain seolah-olah hidup kita, kejayaan kita dan kepintaran kita hanya penguasaan bahasa Inggeris. Saya ingin mengingatkan elit yang terlalu taasub dengan bahasa Inggeris ini bahawa mereka itu hidupnya di Malaysia.