Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – “Setiap rakyat, organisasi dan institusi mesti ada tanggungjawab kepada perlembagaan.”
Demikian antara perkara utama yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman dalam Syarahan 152 “Sayangi Bahasa Sayangi Negara” bersempena dengan Majlis Anugerah Bahasa Terengganu dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Awam Peringkat Negeri Terengganu 2024.

Anugerah yang julung kali diadakan ini merupakan kerjasama yang terjalin antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang diadakan pada pagi tadi di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.
Menurut Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) selaku Mantan Ketua Pengarah DBP itu, tema syarahan yang diambil itu sangat mendalam maknanya dan mesti dihayati oleh generasi muda terutamanya kerana berkaitan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Kesedaran dan keinsafan yang menyeluruh hendaklah wujud secara bersama dan ada tanggungjawab semua pihak merangkumi agensi, institusi dan organisasi dalam melaksana, memaju dan mengembangkan bahasa kebangsaan dalam konteks ‘Tanggungjawab kepada Perlembagaan.’
Selain itu, semua penduduk di negara ini sememangnya bangsa Malaysia tidak kira penduduk itu kaum Cina atau India mahupun etnik-etnik yang lainnya.
Saya harap pimpinan politik jangan selalu berkecamuk dalam menggunakan istilah antara bangsa dan kaum. Lagi salah kalau kita mengatakan Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai bangsa. Salah dari segi sains dan politik dan juga dari segi sains sosial. Malaysia memang satu bangsa, pelbagai masyarakat, pelbagai keturunan.
Bangsa Malaysia, tak boleh kata bangsa Cina, bangsa India. Ini fakta. Ini bukan soal 3R (Religion, Race, Royal), bangsa Cina di sana (China), bangsa India di sana (India). Malaysia, bangsa Malaysia yang terbahagi kepada kaum dan etnik.
Di samping itu juga, YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman turut menyatakan bahawa di Malaysia, ada kecenderungan kesedaran sejarah semakin merosot justeru pembangunan modal insan atau sumber daya manusia perlu dilengkapkan dengan pemikiran kreatif, inovatif, nilai-nilai sosiobudaya positif dan berfikiran analitikal, antaranya boleh datang melalui sastera.
Bahasa dan sastera saling melengkapi dan berpadu. Nilai-nilai bersama dalam sastera membawa kepada pengukuhan sahsiah bangsa. Selain daripada bahasa dan sastera, kepustakaan berbahasa Melayu hendaklah dilipatgandakan pengeluarannya.
Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah DBP (Dasar), Tuan Haji Md Johari Hassan; Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat SUK Kelantan, YBrs. Tuan Haji Mohd Zaki Yusoff; Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin; dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail.
