Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia (YBM) Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dalam ucapan perasmian majlis Penyampaian Anugerah Bahasa Terengganu dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Awam Peringkat Negeri Terengganu 2024 yang berlangsung pada pagi tadi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memberikan komitmen terhadap usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan di negeri ini.

Beliau berharap agar manifestasi untuk melihat kelahiran lebih banyak ilmuwan dan ahli bahasa dalam kalangan anak jati negeri Terengganu akan berhasil.
Beliau berkata,
Menerusi naskhah dan karya yang diangkat sebagai pemenang ini, semoga menjadi titik tolak untuk semua karyawan dan ahli bahasa yang berada di sini serta di mana-mana sahaja untuk terus memberikan sumbangan tenaga dan juga idea secara berterusan bagi mengembangkan serta menyebarluaskan ilmu untuk manfaat kepada pembangunan pemikiran masyarakat mahupun peradaban bangsa sama ada di Terengganu ataupun pada peringkat kebangsaan.
Pada tahun ini, buat kali pertamanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mewujudkan Anugerah Bahasa Terengganu.
Anugerah Tokoh Bahasa Terengganu merupakan penghargaan khusus kepada anak kelahiran Terengganu Darul Iman yang telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam usaha mengembangkan serta memartabatkan bahasa Melayu menerusi pelbagai wahana dan kegiatan sama ada di negeri Terengganu ataupun pada peringkat kebangsaan.
Dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mengajak semua pihak agar mengambil tanggungjawab menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan dan berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai warisan budaya yang bernilai.
“Gunakanlah bahasa kebangsaan dengan baik dan betul kerana bahasa kita wajah kita,” tambah beliau.

Menurutnya, sejak ditubuhkan lebih 68 tahun yang lalu, DBP yang merupakan satu-satunya agensi perancangan bahasa di negara ini secara tekal telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan strategi melalui pelbagai program dan aktiviti kebahasaan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu.
Katanya,
DBP sentiasa berada di hadapan untuk mendukung perjuangan bahasa, dan menyokong segala usaha murni semua pihak untuk meningkatkan mutu penggunaan bahasa Melayu.
YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan berkata bahawa DBP amat berbesar hati dengan sokongan padu dan iltizam daripada semua pihak bagi memastikan usaha ini dapat dijayakan.
“Kami juga percaya bahawa dengan sokongan padu yang berterusan ini, kita dapat bersama-sama memperkukuh kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam pelbagai bidang yang menyentuh segala aspek kehidupan masyarakat,” tambah beliau.
Program yang akan diadakan secara dwitahunan ini menyediakan empat kategori pengiktirafan, iaitu Anugerah Tokoh Bahasa Terengganu, Anugerah Tokoh Persuratan Terengganu, Hadiah Bahasa Terengganu dan Hadiah Citra Bahasa Terengganu.
Bersempena dengan Majlis Penyampaian Anugerah Bahasa Terengganu ini juga turut diadakan acara Penangguhan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2024.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan, YBrs. Tuan Haji Mohd Zaki Yusoff; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail; Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin; dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail.