Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Majlis Anugerah Bahasa Terengganu 2024 yang berlangsung pada pagi tadi memperuntukkan lebih RM18,000.00 untuk empat hadiah utama, iaitu Hadiah Tokoh Bahasa Terengganu 2024, Hadiah Tokoh Persuratan Terengganu 2024, Hadiah Bahasa Terengganu 2024 dan Hadiah Citra Bahasa Terengganu 2024.
Anugerah yang julung kali diadakan ini merupakan hasil kerjasama yang terjalin antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.
Berdasarkan laporan panel penilai yang dibentangkan oleh ketua panel penilai Anugerah Bahasa Terengganu 2024, iaitu YBhg. Prof. Dr. Zaharani Ahmad menyatakan bahawa anugerah ini menyediakan empat hadiah utama, iaitu Hadiah Tokoh Bahasa Terengganu 2024, Hadiah Tokoh Persuratan Terengganu 2024, Hadiah Bahasa Terengganu 2024 dan Hadiah Citra Bahasa Terengganu 2024.

Panel penilai bagi Hadiah Tokoh Bahasa Terengganu 2024 dan Hadiah Tokoh Persuratan Terengganu 2024 terdiri daripada tiga orang ahli akademik yang tersohor, iaitu YBhg. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, dan YBhg. Prof. Dr. Zaharani Ahmad.
Sementara itu, panel penilai bagi Hadiah Bahasa Terengganu 2024 dan Hadiah Citra Bahasa Terengganu 2024 terdiri daripada tiga orang karyawan DBP, iaitu Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin; dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail.
Bagi kategori Hadiah Tokoh Bahasa Terengganu 2024, daripada lima tokoh yang dicalonkan, hanya seorang calon didapati memenuhi asas kriteria penilaian yang ditetapkan dan panel bersetuju menganugerahkannya kepada YBrs. Prof. Madya Adi Yasran Abdul Aziz.

Di samping itu, bagi kategori Hadiah Tokoh Persuratan Terengganu 2024 pula, daripada lima tokoh yang dicalonkan, hanya seorang calon didapati memenuhi asas kriteria penilaian yang ditetapkan dan panel bersetuju menganugerahkannya kepada YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali.

Tokoh Bahasa Terengganu 2024, YBrs. Prof. Madya Adi Yasran Abdul Aziz dan Tokoh Persuratan Terengganu 2024, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000.00 dan watikah penghargaan.
Selain itu, Hadiah Bahasa Terengganu 2024 terdiri daripada dua kategori:
KATEGORI A. BUKU ILMIAH
Panel penilai telah menerima 18 penyertaan. Daripada 18 yang dicalonkan, dua penyertaan tidak dinilai kerana tidak menepati syarat pertandingan. Setelah menilai kesemua buku yang dicalonkan, panel penilai bersetuju memilih buku Keluar dari Lingkaran: Mobiliti Sosial Komuniti Pesisir, terbitan DBP, tulisan YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hayati Sa’at.


KATEGORI A. BUKU UMUM
Panel penilai telah menerima sembilan penyertaan, tiga daripadanya telah disenarai pendek dan akhirnya panel penilai memutuskan bahawa karya oleh YBhg. Prof. Dr. Ab Aziz Yusof, iaitu Parasit di Tempat Kerja, terbitan DBP sebagai pemenang bagi kategori ini.
Pemenang bagi kedua-dua kategori di atas masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000.00 dan sijil penghargaan.
KATEGORI B. ECERAN: ESEI/ARTIKEL/MAKALAH ILMIAH
Bagi kategori ini, panel penilai telah menerima 10 penyertaan dan akhirnya sebulat suara memilih tiga pemenang, iaitu:
1. “Pola Hubungan Pasangan Suami Isteri Mualaf dalam Pembentukan Keluarga yang Harmoni” tulisan YBrs. Prof. Madya Dr. Azarudin Awang.

2. “Karya Kesusasteraan sebagai Satu Manifestasi Fungsi Seorang Manusia” tulisan YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali.

3. “Kesusasteraan Elektronik: Konsep dan Pengenalan” tulisan YBrs. Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa.

Pemenang bagi kategori ini masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.00 dan sijil penghargaan.
KATEGORI B. ECERAN: RENCANA UMUM
Bagi kategori rencana umum, daripada sembilan penyertaan yang diterima, panel penilai memilih tiga artikel ini sebagai pemenang:


Pemenang bagi kategori ini masing-masing membawa pulang wang tunai RM700.00 dan sijil penghargaan.
Menerusi temu bual bersama-sama penerima Hadiah Bahasa Terengganu 2024 bagi Kategori B. Eceran: Rencana Umum, Encik Suhaimi Mohd Salleh menyatakan bahawa masyarakat Malaysia perlu menyayangi bahasa Melayu sepenuh hati kerana bahasa Melayu merupakan anugerah kepada orang Melayu dan seluruh masyarakat Malaysia.

Ujar beliau,
Jika bukan kita yang memeliharanya dengan menggunakannya dalam urusan seharian, siapa lagi yang hendak menyayanginya kerana bangsa lain mempunyai bahasa mereka sendiri. Sekiranya bahasa Melayu tidak dituturkan oleh masyarakatnya, lama-kelamaan bahasa Melayu akan terbiar, lemah, dan menjadi pupus. Selain itu, bahasa Melayu perlu digunakan dengan betul sama ada dalam lisan atau tulisan, khususnya dalam urusan formal, supaya nilainya sentiasa tinggi. Bahasa lain boleh digunakan pada suasana yang sesuai dengan keperluannya, seperti ketika berurusan dengan warga luar.
Sementara itu, Encik Suhaimi Mohd Salleh turut berkongsi pandangan beliau tentang peranan sesebuah institusi ke arah memartabatkan bahasa Melayu.
Tambah beliau,
Institusi memainkan peranan penting dengan memastikan ahlinya sentiasa berbahasa kebangsaan. Dalam hal ini, ketua institusi atau jabatan perlu sentiasa menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi sebagai teladan kepada pegawai bawahan. Penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan dokumen dan pengucapan awam hendaklah dipantau. Sebaik-baiknya setiap unit dalam setiap jabatan awam di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, menyediakan bahan rujukan yang berwibawa untuk kegunaan kakitangan agar dapat menggunakan bahasa Melayu yang betul, antaranya termasuklah buku tatabahasa, kamus, sistem ejaan, penulisan dokumen, dan sebagainya.
Seterusnya, Hadiah Citra Bahasa Terengganu terdiri daripada empat kategori, iaitu:
KATEGORI A: MEDIA KONVENSIONAL
Bagi kategori ini, panel penilai telah menerima enam penyertaan dan memilih program Wira Ombak yang ditayangkan dalam Slot Panorama TV1, RTM oleh Puan Suhanis Shahaini sebagai pemenang.

KATEGORI MEDIA BAHARU
Daripada 16 penyertaan, tiga penyertaan tidak menepati syarat pertandingan. Daripada 13 penyertaan yang dinilai, panel penilai telah memilih satu pemenang, iaitu Video TikTok bertajuk “Belajar Loghat Ulu” karya Rosliza Ghani.
KATEGORI PAPARAN AWAM
Kategori ini terdiri daripada dua sektor, iaitu Paparan Awam (sektor awam) dan Paparan Awam (sektor swasta). Namun begitu, tiada pemenang bagi kedua-dua kategori tersebut.
KATEGORI IKON MEDIA BAHARU
Daripada enam penyertaan yang dinilai, panel penilai telah memilih Rosliza Ghani sebagai ikon media baharu. Pemilihan beliau dibuat berdasarkan citra dan nuansa tempatan yang ditunjukkan secara konsisten dalam video-videonya serta penggunaan bahasanya yang santun dan bersahaja.

Pemenang bagi hadiah ini masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.00 dan sijil penghargaan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan, YBrs. Tuan Haji Mohd Zaki Yusoff; dan Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail.