Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTronoh − Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengekalkan monopoli penguasaan dalam arena berpantun antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) apabila pasukan mereka, Guntur Mengkara merangkul naib johan Sayembara Pantun Piala Aman Jaya (SAJAYA) 2024 yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Rakan Masjid UTP pada 1−3 November 2024.
Pasukan ini dianggotai oleh empat orang mahasiswa, iaitu Muhammad Afiq Abdul Nasir, penuntut Sarjana Muda Muamalat; Nur Qazreen Rasidi, penuntut Sarjana Muda Undang-Undang dari Kampus Shah Alam; Nurul Ain Awadah Razali, penuntut Sarjana Muda Pendidikan Seni dari Kampus Puncak Alam; dan Muhammad Akmal Haziq Mohd Ramli, penuntut Sarjana Muda Pergigian dari Kampus Sungai Buloh.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, plak berserta sijil.
Selain itu, pasukan lain dari UiTM yang turut serta ialah Gatra Kirana yang menampilkan keempat-empat penuntut semester pertama yang membuat debut di pentas pantun IPT pada kali ini.
Kumpulan Gatra Kirana juga dianggotai oleh empat orang mahasiswa, iaitu Nur Amanina Mastura Mohd Razdi, penuntut Sarjana Muda Perniagaan Kewangan dari Kampus Bandaraya Melaka; Darwisyah Insyirah Shaifulnizam, penuntut Sarjana Muda Bahasa Inggeris Komunikasi antara Budaya dari Kampus Shah Alam; Mohammad Amirul Ngatiman, penuntut Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Kampus Sungai Buloh; dan Putri Nurizzah Salimah Mohamad Zainudin, penuntut Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua dari Kampus Puncak Alam.
Kedua-dua pasukan ini diiringi oleh Puan Jamilah Mat Zin dari Pusat Kebudayaan UiTM Shah Alam dan dilatih oleh jurulatih berkaliber, iaitu Encik Izzul Iman.
Menurut Encik Izzul Iman, walaupun persediaan yang dibuat hanyalah dalam masa seminggu, tetapi pasukan ini berjaya menyerap segala tekanan daripada pasukan lawan dengan cemerlang.
Konsep pertandingan yang mengangkat budaya dan warisan negeri Sabah dan Sarawak ini merekodkan sebanyak lapan IPT telah mengambil bahagian.
Tema segar seperti Pakma Raksasa, Buah Tarap dan Ayam Sakti Nunuk Ragang betul-betul menguji kebijaksanaan setiap pemantun.
Menurut Nur Qazreen Rasidi, beliau sendiri mengulang kaji tema tersebut dengan teliti supaya dapat memahami sekali gus mampu menjawab pantun yang dijual oleh pihak lawan dengan jayanya.
Bagi pasukan Gatra Kirana, langkah mereka terhenti pada peringkat suku akhir, namun pencapaian tersebut sangat membanggakan kerana merupakan penyertaan kali pertama mereka.