Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama beberapa pemegang taruh dari pelbagai latar belakang seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Persatuan Badan Budaya DBP dan Asia Pasifik Universiti (APU) akan menganjurkan saringan Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA) dengan tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM18,000.
Peringkat saringan bagi pertandingan ini akan diadakan pada 17 November 2024 (Ahad), bermula pukul 2.00 petang hingga 9.00 malam di Sudut Karyawan (Stor Teater), Wisma DBP, Kuala Lumpur.
Pertandingan ini memasuki edisi kelapan pada tahun ini, selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2022.
Pertandingan masih lagi menggunakan format yang sama, iaitu dengan hanya sepuluh peserta terbaik yang akan meneruskan kemaraan mereka ke peringkat akhir.
Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.00, naib juara membawa pulang RM3,000.00, tempat ketiga akan membawa wang tunai RM2,000.00 dan tujuh pemenang sagu hati pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM1,000.00, serta persembahan terbaik juga akan mendapat wang tunai RM1,000.00.
Tujuan utama pertandingan ini diadakan adalah untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar yang sedang menuntut di Malaysia.
Selain itu, pertandingan ini juga merupakan wadah untuk memperkenalkan lagu tempatan kepada masyarakat luar negara sekali gus memperkenalkan negara Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan di rantau Asia Tenggara.
Bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya, beberapa syarat pertandingan telah digariskan oleh pihak penganjur untuk semua peserta yang mengambil bahagian:
1) Terbuka kepada semua pelajar antarabangsa yang sedang menuntut di universiti awam dan universiti swasta di seluruh Malaysia.
2) Pelajar dari negara seperti Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand (yang juga menggunakan bahasa Melayu) tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.
3) Minus one perlu dibawa sendiri oleh peserta semasa proses saringan.
4) Peserta hanya dibenarkan menyanyikan lagu yang diterbitkan di Malaysia sahaja.
5) Pilihan lagu bebas mengikuti kreativiti peserta kecuali lagu berunsurkan Irama Malaysia dan lagu patriotik.
6) Semasa menghadiri peringkat saringan, peserta hendaklah memakai pakaian yang sopan.
7) Hanya sepuluh peserta terbaik dari peringkat saringan akan memasuki peringkat akhir.
8) Sepuluh peserta yang terbaik akan menginap di lokasi yang ditetapkan oleh pihak penganjur untuk diberikan latihan intensif.
9) Peserta hendaklah menyediakan pakaian sendiri semasa peringkat akhir.
10) Keputusan juri muktamad.
Pelajar antarabangsa yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mendaftar dengan mengisi Google Form di pautan https://forms.gle/EVoqUjjjKV8Wq5Hy6 atau boleh menghubungi pegawai yang bertanggungjawab, Puan Nurul Aina binti Borhan dan Encik Muhammad Rafiq bin Abdul Rahman melalui talian telefon: +6012-687 0373/+6012-675 6055 atau e-mel [email protected]/[email protected].