5 November 2024, 20:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menyarankan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) agar membukukan siri 20 tokoh cendekiawan Melayu sebagai sumber berharga dan menjadi bahan bacaan dan rujukan masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam ucap utama dan perasmian Seminar Kebangsaan Tokoh Ulung Cendekiawan Melayu yang bertempat di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), pagi tadi.

Dalam usaha memartabatkan dan memperkukuhkan budaya warisan, serta jati diri keilmuan bangsa, YB Fadhlina Sidek turut berkata bahawa sumbangan 20 orang tokoh cendekiawan Melayu bukan sahaja dapat dilihat dalam bidang sastera, budaya, pendidikan dan sejarah, tetapi dapat menggalakkan penghayatan yang mendalam terhadap peranan dan jasa mereka dalam pembangunan ilmu serta pemikiran Melayu.

YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucap utama dan merasmikan Seminar Kebangsaan Tokoh Ulung Cendekiawan Melayu di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pagi tadi.

Para tokoh yang akan dibincangkan hari ini, seperti Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Mohamed Idris al-Marbawi, Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Za’ba merupakan antara contoh terbaik insan yang mencurahkan jiwa dan raga untuk mengangkat keilmuan serta keunggulan budaya keilmuan Melayu.

Tidak banyak generasi muda pada hari ini yang mengenali ketokohan mereka dalam dunia ilmu dan masyarakat secara mendalam.

Beliau berkata bahawa sumbangan mereka bukan hanya membawa manfaat kepada bangsa, tetapi juga memberikan kesan positif terhadap dunia ilmu pada peringkat antarabangsa.

Melalui sesi pembentangan ini, beliau berharap agar semua peserta dapat mengambil iktibar dan menyebarkan ilmu yang diperoleh untuk mengukuhkan lagi legasi yang bakal mereka tinggalkan.

Ujar beliau lagi,

Dengan itu, menjadi harapan kita agar seminar ini mampu mencetuskan inspirasi bagi generasi hari ini untuk mengikut jejak langkah tokoh ini.

“Mereka bukan sahaja perlu dikenali, tetapi juga menjadi contoh dalam pembinaan jati diri dan nilai patriotisme.

YB Fadhlina Sidek melawat pameran tokoh cendekiawan Melayu yang diadakan bersempena dengan Seminar Kebangsaan Tokoh Ulung Cendekiawan Melayu di Universiti Malaya.

Tambah YB Fadhlina Sidek,

Tokoh ulung Melayu seperti Za’ba, Syed Syeikh al-Hadi, dan Syeikh Abdullah Fahim memahami betapa pentingnya ilmu sebagai sumber kekuatan bangsa, dan mereka telah berjuang gigih untuk menyebarluaskan pengetahuan sebagai jalan pembebasan pemikiran dan pencerahan minda. Keazaman mereka ini perlu dijadikan contoh dan pedoman kita.

Sehubungan dengan itu, menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, DBP akan menerbitkan siri ulung 20 tokoh cendekiawan Melayu seperti yang dibincangkan pada hari ini supaya jasa dan pemikiran mereka akan diketahui oleh anak cucu pada kemudian hari.

Beliau juga percaya bahawa masih ada lagi cendekiawan Melayu yang sedang menunggu giliran selain yang dibincangkan pada hari ini.

Ujar beliau,

Kita akan masukkan dalam fasa kedua dalam penerbitan buku itu nanti bagi mereka yang sedang menunggu giliran.

“Kita juga percaya setiap dekad akan muncul muka-muka baru para cedekiawan yang akan mewarnai dunia bahasa Melayu.

Tambah beliau lagi, DBP akan berkerjasama dengan Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu dan Akademi Pengajian Melayu atau mana-mana pihak bagi yang ingin bekerjasama mengangkat darjat, maruah dan martabat bangsa Melayu.

Para peserta seminar bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Turut hadir ialah Naib Canselor UM, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Timbalan Dekan (Ijazah Dasar dan Hal Ehwal Pelajar) Akademi Pengajian Melayu UM, YBrs. Profesor Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, selaku wakil Dekan Akademi Pengajian Melayu; Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu UM, YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi, barisan ahli akademik dan pentadbiran UM, karyawan DBP, barisan pembentang dan peserta seminar. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.