Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 10 buah pasukan yang mewakili tujuh buah kementerian telah beradu kemahiran berpantun dalam pusingan saringan Pesta Sayembara Pantun antara Kementerian 2024 pada 4 November yang lalu.
Sayembara yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama INTAN bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Sambutan INTAN 65 Tahun ini diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, di sini.
Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP bersama-sama Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa INTAN menjadi peneraju bersama dan dibantu oleh Munsyi Muda Bahasa bagi melancarkan perjalanan sayembara.
Sebanyak 11 buah pasukan mewakili kementerian atau jabatan akan merebut gelaran johan sayembara, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan.
Antara tema yang dipertandingkan bagi menguji kemahiran pantun para peserta termasuklah Cintai Bahasa dan Sastera Kebangsaan, Ihsan melalui Adat dan Nasihat, Hormat Tonggak Perpaduan Kebangsaan, Kiasan Inspirasi Daya Cipta, Budi, Kasih Sayang dan Kesejahteraan, serta Penjawat Awam Nadi Malaysia Madani.
Sementara itu, johan sayembara akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, naib johan akan menerima wang tunai RM3,000, pemenang tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, pemenang tempat keempat akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, serta pemantun terbaik bagi sayembara pula akan menerima wang berjumlah RM700.
Para peserta akan dinilai dari sudut isi (40 markah), bahasa (40 markah) dan persembahan dan kreativiti (20 markah).
Penolakan markah akan berlaku sekiranya peserta melanggar peraturan pantun yang ditetapkan, menjual dan membeli pantun yang mempunyai unsur negatif dan sensitif serta sekiranya pemantun tidak menepati masa yang ditetapkan.