6 November 2024, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Dalam Negeri, YB Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan golongan penulis muda yang perlu disemarakkan dalam era Malaysia MADANI ini.

Beliau berkata, DBP sebagai organisasi yang penting untuk memartabatkan bahasa Melayu harus menjadi penggerak utama usaha ini dengan sokongan padu daripada NGO di akar umbi.

“Golongan muda perlu dipandu dan dididik bagi pembinaan penulis yang mampan serta prolifik bagi memastikan mereka menjadi ejen penggerak pembinaan minda positif dan progresif, juga mampan mendepani cabaran teknologi maklumat yang amat cepat pergerakannya.

Menteri Dalam Negeri, YB Dato Seri Saifuddin Nasution menegaskan bahawa DBP  harus menjadi penggerak utama dalam usaha merealisasikan penulis muda.

“Oleh itu, ahli NGO yang berpengalaman dan berkepakaran dalam pelbagai genre sastera seperti sajak, cerpen, novel, drama  mahupun sastera tradisional perlu turun padang menghidupkan program sastera di akar umbi bersama-sama masyarakat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Gema Bahasa dan Sastera (GEBARA) bersempena dengan Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.

Tambah beliau,

Usaha di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui pelbagai agensinya mampu menjadi pelengkap terhadap persekitaran konstruktif penulis muda tanah air.

Tindakan bimbingan susulan perlu dilaksanakan agar golongan penulis muda ini dijadikan “lasykar muda” dalam usaha menangkis segala anasir yang cuba menggugat kestabilan negara melalui penulisan dalam pelbagai wahana dan genre.

Menurut beliau,  sejarah telah membuktikan bahawa memoir atau kisah yang tidak pernah dirasakan penting akan menjadi cukup signifikan sebagaimana yang berlaku pada seorang gadis remaja berusia 13 tahun bernama Anne Frank  melalui trauma Perang Dunia Kedua di Asmterdam.

Buku tersebut hanya catatan harian atau diari seorang gadis remaja yang ingin tahu tentang agama dan kejengkelannya terhadap orang tuanya, dan komentarnya tentang situasi kemanusiaan ketika perang.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengingatkan NGO agar menjadi agen akar umbi bagi pengembangan bahasa dan sastera.

“Namun begitu, buku yang berjudul Anne Frank: The Diary of a Young Girl itu akhirnya menjadi dokumen sejarah yang luar biasa yang diterjemahkan ke dalam 30 bahasa dunia, bahkan beberapa naskhah drama dan filem dokumentari juga dihasilkan berdasarkan buku tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan pula berkata, sokongan dan komitmen terutamanya NGO bahasa dan sastera, kesenian dan kebudayaan serta etnik terus utuh, apatah lagi untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa negara dan bahasa ekonomi.

Menurut YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, NGO khususnya persatuan penulis perlu menjadi duta bahasa dan sastera dalam usaha membimbing masyarakat secara tidak langsung dan menggalakkan masyarakat menulis anekdot dengan gaya penulisan yang sebenar.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada beberapa agensi di bawah KDN yang telah bersama-sama menyemarakkan usaha pemerkasaan bahasa dan sastera kebangsaan,” katanya.

Bersempena dengan sambutan DBK peringkat NGO ini juga diadakan Pertandingan Menulis Anekdot bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang dibuka penyertaannya kepada seluruh ahli NGO.

Nyanyian daripada Nadia Suhaimi dengan lagu Laksamana Raja di Laut mengasyikan para hadirin.

Pertandingan ini bertujuan mengajak masyarakat memahami dan menulis gaya penulisan anekdot yang sebenar, iaitu  cerita singkat berdasarkan kejadian sebenar yang bersifat lucu dan mempunyai unsur pengajaran serta ditulis dalam jumlah patah perkataan tertentu.

Ahli kumpulan Kopratasa, Sani Sudin mendeklamasikan sajak hasil nukilan Zaleha Hashim.

Johan bagi Pertandingan Menulis Anekdot dimenangi oleh YBrs. Dr. Rahimah Hamdan daripada Persatuan Penulis Budiman Malaysia dengan karyanya  bertajuk “Opocot!”, yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Naib johan pula dimenangi oleh  Zaidin Abadi daripada Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (Swadaya) dengan tulisannya bertajuk “Ravi Bukan yang Dulu”, yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Hassan Baseri Budiman dari Swadaya dengan tajuk karyanya, “Malunya Aku” yang membawa pulang hadiah bernilai RM300.

Para hadirin turut diserikan dengan persembahan daripada NGO seperti syair, sketsa, bacaan saja dan persembahan monodrama serta nyayian tarian zapin yang mengasyikkan.

Para hadirin bergambar kenangan bersama-sama Menteri Dalam Negeri, YB Dato Seri Saifuddin Nasution Ismail dan tetamu kehormat yang hadir.

Turut hadir dalam program tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, YBhg. Dato’ Mohd Zulfikar Ahmad; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; ketua-ketua bahagian dan ahli pertubuhan bukan kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.