Oleh Nazrul Aziz
7 November 2024, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sajak berjudul “Lembayung Perpaduan” karya Wan Hanif Wan Hamid atau nama sebenarnya Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid dari Kuantan, Pahang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Penulisan Sajak dalam program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 bertemakan “Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni” yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang pada 5 November 2024 di Hotel Seri Pacific, di sini.

“Sajak yang saya hasilkan ini menggabungkan tema perpaduan, bahasa, teknologi dan semangat patriotik dengan garapan kata-kata yang sederhana, mudah difahami dan puitis,” ujarnya dalam temu bual ringkas selepas majlis penyampaian hadiah program anjuran bersama Perpustakaan Negara Malaysia dengan Kementerian Perpaduan Negara serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambahnya lagi,

Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan berharap agar sajak saya ini dapat difahami oleh pembaca pada semua peringkat usia.

Saya juga berharap mesej yang cuba disampaikan dapat dihayati dan meningkatkan lagi semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau yang berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang menyatakan amat meminati bidang penulisan kreatif dan bukan kreatif, serta telah mula berkecimpung dalam aktiviti kesusasteraan sejak di bangku persekolahan lagi.

“Menulis sajak memerlukan keikhlasan dan pemilihan kata yang baik, indah serta murni,” katanya apabila ditanya tentang teknik penulisan sajak dalam penghasilan karya tersebut.

Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid johan Penulisan Sajak kategori dewasa.

Sebagai tambahan, beliau merupakan alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) 2012 anjuran DBP, pernah menerima Hadiah Sastera Tunas Cipta 2015/2016 dan memenangi hadiah utama Sayembara Jiwa Merdeka 2024 anjuran NU Sentral dan DBP dengan sajak berjudul “Tekad Jiwa Merdeka” baru-baru ini.

Wan Hanif pernah memenangi Hadiah Sastera Tunas Cipta 2015/2016.

“Saya berharap setiap karya yang saya hasilkan dapat memberikan manfaat kepada pembacanya dan saya akan sentiasa cuba untuk menghasilkan karya yang terbaik bagi menyemarakkan perpaduan rakyat negara ini melalui sastera dan budaya,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.