11 November 2024, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat kaya dan boleh digunakan untuk memperkatakan apa-apa sahaja bidang ilmu.”

Demikian antara perkara yang dilontarkan oleh Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), YBrs. Profesor Madya Dr. Salinah Ja’afar ketika menjadi tetamu undangan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Salinah Ja’afar, bahasa Melayu pasti mempunyai istilah yang sesuai untuk menggambarkan sesuatu.

Sebenarnya, bahasa Melayu ini telah menjadi bahasa dunia kerana dipertuturkan oleh jutaan orang dan penggunaannya juga begitu meluas terutama di Malaysia dan seluruh Nusantara selain negara seperti China dan negara Barat yang begitu berminat mempelajari bahasa Melayu.

Bahkan, katanya, ada antara negara tersebut juga mengambil program belajar bahasa Melayu di negara kita serta mengadakan program berkaitan dengan bahasa Melayu di negara mereka.

Beliau berpandangan bahawa penggunaan istilah baharu oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh menggantikan penggunaan bahasa Inggeris kerana daripada meminjam, seeloknya mengambil bahasa kita sendiri.

Tambah beliau,

Contohnya, perkataan tatanan yang digunakan oleh Perdana Menteri sudah ada dalam bahasa Melayu.

Dr. Salinah Ja’afar juga yakin bahawa Perdana Menteri seorang yang banyak membaca sehingga boleh memilih perkataan yang sesuai untuk digunakan dalam pembentangan belanjawan lalu.

Perkataanitu sebenarnya bukanlah pelik walaupun kedengaran pelik dalam kalangan anak muda kerana kebanyakan mereka tidak memerhati, menghayati dan memahami bahasa Melayu.

Beliau berkata, untuk menguasai sesuatu bahasa, seseorang perlu banyak membaca kerana melaluinya dapat membantu penambahan kosa kata.

Tambahnya lagi,

Untuk memartabatkan bahasa Melayu, kita seharusnya tidak mencampurkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa lain agar kesantunan bahasa dapat dipelihara.

Sementara itu, masyarakat juga perlu memilih kosa kata dan menggunakan bahasa Melayu yang betul kerana dapat mengangkat bahasa kita bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di luar negara.

Selain itu, Dr. Salinah Ja’afar juga menyatakan bahawa tidak dinafikan bahawa pengaruh komuniti digital telah membentuk perkataan atau istilah baharu dalam kalangan generasi muda terutamanya, dan adalah sukar untuk kita menghalang situasi tersebut daripada berlaku.

Walau bagaimanapun, pelbagai kempen boleh diadakan dalam usaha untuk memberikan kesedaran menggunakan bahasa Melayu yang betul termasuklah melalui media sosial seperti Tik Tok dan sebagainya.

Semua pihak perlulah bekerjasama bagi melestarikan penggunaan bahasa Melayu, seterusnya dapat mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu di dalam atau di luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.