Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata, penggunaan bahasa kebangsaan perlu diperluas dalam kalangan rakyat kerana hal tersebut merupakan prasyarat penting dalam penggunaan bahasa yang baik.
“Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa perhubungan rakyat berbilang kaum dan bahasa perdagangan dapat memperkukuh kecintaan dan memperteguh jati diri rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pagi tadi.
Tegas beliau,
Elemen bahasa merupakan satu daripada aspek penting dalam pembinaan negara bangsa, yang menekankan pada elemen pemersatuan dalam kalangan rakyat melalui bahasa kebangsaan.
Usaha ini perlu diberikan penekanan dan perhatian, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang penuh dengan kerencaman dan kepelbagaian.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyeru semua pihak agar sentiasa memainkan peranan masing-masing dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan baiknya.
Beliau berharap agar majlis ini mampu menjadi program untuk mempergiatkan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu dan bahasa ekonomi selaras dengan pelan strategik DBP.
Majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP diadakan bagi mengiktiraf dan menghargai setiap sumbangan individu, para karyawan dan institusi dalam usaha mereka memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Majlis apresiasi ini menyediakan empat anugerah kepada para pemenang, iaitu Hadiah Citra Bahasa 2024, Ikon Bahasa 2024, Hadiah Tunas Cipta 2021/2022 dan Pertandingan Komik Jawi 2024.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus; rakan media dan karyawan DBP.