13 November 2024, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited memperkukuh penggunaan bahasa Melayu menerusi kerjasama dengan pelbagai saluran media baharu, terutamanya pempengaruh media sosial.

Pendekatan ini dilaksanakan seiring dengan perkembangan dunia digital yang semakin pesat, mengatasi media konvensional sebagai sumber utama maklumat dan komunikasi bagi masyarakat.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa hasrat untuk menjalinkan kerjasama ini bertujuan untuk memastikan kandungan bahasa Melayu yang disampaikan kepada masyarakat luar bersifat positif dan berkualiti tinggi. 

“Masyarakat dunia kini tidak lagi tertakluk pada media konvensional kerana kita mempunyai pelbagai saluran media alternatif yang lebih luas dan bersifat persendirian.

“Oleh itu, DBP mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan bentuk media baharu ini demi pengembangan bahasa Melayu,” ujar beliau dalam sesi sidang akhbar Malam DBP Bersama-sama Media di Wisma DBP, semalam.

DBP, katanya, akan memandu dan membimbing para pengamal media dalam aspek bahasa dan penyampaian kandungan agar mesej yang disampaikan lebih bermakna dan beretika.

Usaha ini termasuklah pengawalan terhadap ujaran dalam kandungan media alternatif untuk memastikan hal tersebut selari dengan nilai positif yang mendukung kepentingan bahasa Melayu.

Dalam usaha memanfaatkan teknologi digital, DBP turut mengadakan aktiviti dan pertandingan interaktif seperti pertandingan komik digital yang telah berlangsung pada bulan ini.

Pertandingan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada penggiat kreatif untuk berkarya dalam bahasa Melayu, tetapi juga mencerminkan keterbukaan DBP dalam usaha memanfaatkan kepelbagaian media untuk mempromosikan bahasa dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata,

Pada hari ini, kami juga telah melantik tiga lagi Ikon Bahasa dalam kalangan pempengaruh di media sosial.

Hal ini menunjukkan bahawa DBP bergerak selari dengan perkembangan semasa kerana bahasa tidak boleh disebarkan dengan cara yang lama, kita perlu beralih kepada kaedah yang lebih moden. 

Tambah beliau, DBP akan mengadakan sesi pertemuan khusus bersama-sama rakan media pada masa terdekat untuk berkongsi asas penggunaan bahasa yang baik dan tepat. 

“Hal ini penting kerana media mempunyai pengaruh besar bagi menentukan hala tuju perkembangan bahasa di negara ini.

Melalui inisiatif ini, DBP berharap agar kerjasama yang dijalin mampu memperkukuh lagi bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam dunia digital yang kian berkembang,” katanya.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.