Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dana RM50 juta yang diperuntukkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan digunakan bagi memperkukuh pelbagai aspek, termasuk penerbitan dan industri kreatif tempatan.
Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, pemerkasaan penerbitan ini bukan sahaja akan menyemarakkan industri penerbitan tempatan, malah memberikan inspirasi kepada para pengarah untuk terus berkarya.
Di samping itu, DBP merancang untuk mengadaptasi karya sastera tempatan ke medium visual, dengan membawa novel dan cerpen daripada bentuk teks kepada paparan layar.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang akhbar Malam DBP Bersama-sama Media di Wisma DBP, semalam.
Katanya,
DBP juga berhasrat untuk menterjemahkan karya tempatan yang berkualiti dalam bahasa utama dunia, serta menterjemahkan karya antarabangsa dalam bahasa kebangsaan, menjadikan penterjemahan sebagai perbendaharaan ilmu yang bermanfaat.
Selain penerbitan dan adaptasi, DBP juga menekankan usaha untuk meningkatkan daya baca dalam kalangan generasi muda.
Sebahagian daripada dana ini akan digunakan untuk menyediakan bahan bacaan percuma kepada sekolah, institusi pendidikan tinggi dan perpustakaan.
“Inisiatif ini bertujuan untuk menyebarluaskan budaya membaca, terutamanya dalam kalangan masyarakat yang kurang berkemampuan,” tambah beliau.
Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, terutamanya Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinannya terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan.
Penghargaan ini disampaikan berikutan peruntukan RM50 juta yang diterima oleh DBP pada 18 Oktober lalu, khusus untuk memperkukuh bahasa dan sastera negara.
Menurut YBrs. Dr. Hazami, antara fokus utama yang disarankan oleh Perdana Menteri adalah untuk memantapkan jati diri generasi muda dalam aspek bahasa dan budaya, selain memberikan perhatian terhadap teater serta bahasa etnik dan sukuan.
Katanya,
Isyarat yang diberikan oleh kerajaan hari ini menunjukkan bahawa kemajuan sesebuah bangsa turut bergantung pada ketamadunan yang dipegang kukuh oleh bahasa dan sastera.
Peruntukan yang diterima ini menjadi rekod bagi DBP sebagai kali ketiga diperuntukkan secara langsung oleh kerajaan dalam jumlah yang besar.
“Walaupun RM50 juta mungkin kelihatan kecil bagi kementerian lain, dana ini amat bermakna buat DBP yang merupakan entiti tunggal yang memikul tanggung jawab menjaga bahasa kebangsaan,” katanya.