15 November 2024, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca suatu ketika dahulu bukan sahaja berkembang melalui aktiviti perdagangan yang pesat di Kepulauan Melayu pada zaman tersebut, tetapi juga didorong oleh pelbagai faktor lain termasuklah perkahwinan campur.

Perkahwinan campur antara Sultan Mansor Syah dari Melaka dan Puteri Hang Li Po dari China pada tahun 1445 merupakan contoh yang telah meluaskan pengaruh bahasa Melayu pada zaman tersebut. Bahkan, perkahwinan tersebut juga telah melahirkan keturunan baba dan nyonya yang menjadi satu daripada identiti negeri Melaka. Usaha meluaskan pengaruh bahasa Melayu melalui perkahwinan campur walaupun tidak gah sebagaimana penguasaan perdagangan dunia pada zaman dahulu tidak boleh diperlekehkan.

Kebanyakan budaya di seluruh dunia mengiktiraf perkahwinan sebagai satu ikatan sah yang menyatukan seorang lelaki dengan seorang perempuan. Dalam dunia digital kini, perkahwinan campur yang berlaku antara pelbagai kaum, bangsa, etnik dan ras merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan. Mohd Izuddin Mohd Kassim dalam tulisannya bertajuk “Usah Pandang Enteng Objektif Perkahwinan” menyatakan terma perkataan “perkahwinan campur” pada asalnya diperkenalkan oleh pihak Gereja Katholik untuk menggambarkan perkahwinan antara penganut Katholik dan bukan Katholik. Namun begitu, terma perkahwinan campur kini juga membawa maksud perkahwinan antara dua pihak yang berlainan agama, bangsa dan warganegara.

Terdapat juga kerajaan di dunia yang tidak menggalakkan amalan perkahwinan campur dalam kalangan masyarakatnya seperti di Bhutan. Walau bagaimanapun, di Malaysia, rakyatnya bebas untuk mengamalkan perkahwinan campur. Perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat Malaysia membuktikan bahawa pengaruh bahasa Melayu sebenarnya dapat diluaskan. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan pempengaruh di media sosial termasuklah Ryzal Ibrahim dan pasangannya Maryam Younare serta Logesh Kumaar dan pasangannya, Rachel. Yang lebih menarik, sudah tentulah kisah Logesh Kumaar, seorang yang bukannya penutur asal bahasa Melayu dan menetap jauh di bumi Amerika tetapi masih bangga untuk berbahasa Melayu. Beliau bukan sahaja meluaskan pengaruh bahasa kebangsaan melalui perkahwinan campur semata-semata, tetapi juga melalui penghijrahannya di sana.

Walaupun sudah lebih 10 tahun penghijrahannya ke Amerika Syarikat, beliau tidak lupa akan akar hidupnya. Malahan melalui kandungan video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, beliau bukan sahaja fasih berbahasa Melayu tetapi juga turut mengajar dan menggalakkan isterinya, Rachel turut menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi. Bahkan, ada kandungan video yang menuntut Rachel hanya boleh menggunakan bahasa Melayu. Perkongsian video cabaran Rachel bertutur dalam bahasa Melayu selama 24 jam tersebut juga tular di Malaysia dan mendapat perhatian masyarakat Malaysia. Menurut Logesh, beliau mahu ahli keluarganya mengetahui bahasa Ibunda negaranya selain memudahkan isterinya apabila pulang bercuti ke Malaysia. Usaha membimbing isterinya untuk bertutur dan menggunakan bahasa Melayu sebenarnya telah lama, namun menjadi lebih serius ketika COVID-19 melanda dunia.

Usaha tersebut dilihat membuahkan hasil kerana Rachel semakin hari semakin menguasai bahasa Melayu dan turut menjadikan mereka sebagai antara pempengaruh yang popular di Malaysia. Bukan sahaja Rachel, Logesh turut mendedahkan anak-anaknya dengan bahasa Melayu. Bukan sahaja membawa bahasa Melayu ke Amerika, tetapi beliau juga membawa budaya Malaysia ke sana. Melalui kandungan videonya,  dapat dilihat bahawa beliau memiliki semangat patriotik yang tinggi dalam diri. Walaupun di negara sendiri, budaya dan bahasa seakan-akan semakin hilang ditelan kemodenan, tetapi beliau tetap membawanya ke sana. Rachel bukan sahaja sangat teruja untuk mencuba merasa pelbagai makanan tradisi, tetapi beliau juga turut membuat kuih tradisi negara, iaitu kuih makmur semasa bulan Ramadan tahun lepas. Malahan, keluarga tersebut juga berkongsi kuih-kuih tradisi seperti kuih makmur, kuih  sagu dan seri muka dengan jiran mereka yang pelbagai bangsa.

Perkahwinan campur bukanlah penghalang untuk anak-anak fasih berbahasa kebangsaan negara Malaysia biarpun dibesarkan di bumi asing.

Jika difikirkan, tiada keperluan bagi mereka untuk berbahasa Melayu di negara orang tetapi mereka tetap berusaha dan gigih untuk tetap berbahasa Melayu. Usaha pasangan tersebut wajar dibanggakan dan dipuji kerana telah membawa bahasa Melayu jauh merantau ke sebuah negara maju di dunia. Selain pasangan tersebut, pempengaruh, Ryzal Ibrahim dan pasangannya Maryam Younare juga membperlihatkan bahawa bahasa Melayu dapat diluaskan pengaruhnya melalui perkahwinan campur. Maryam Younare, seorang warganegara Korea Selatan semakin fasih berbahasa Melayu dan kini membina dan terus melebarkan sayapnya        dalam bidang seni di Malaysia. Jika pada awalnya, beliau agak kekok berbahasa Melayu, namun kegigihan dan galakan suami membolehkan Maryam semakin menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Walaupun masih belum cukup fasih, beliau tetap berusaha dan tidak berputus asa untuk tetap bertutur dalam bahasa kebangsaan negara kita. Buktinya, beliau dilihat sedaya upaya untuk bercakap sepenuhnya dalam bahasa Melayu semasa memberikan komen sebagai juri dalam program All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2). Bahkan, beliau sendiri mengakui lebih selesa untuk bertutur dalam bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris. Beliau juga sangat berbangga dengan usahanya  dan tidak akan mempedulikan segala komen negatif dan tohmahan yang dilemparkan masyarakat kepadanya.

Masyarakat sewajarnya berbangga apabila warganegara lain memilih untuk berbahasa ibunda kita berbanding dengan bahasa Inggeris yang dikatakan bahasa bagi bangsa maju dan moden. Daripada mengeluarkan kata-kata negatif, raikanlah mereka kerana sedikit sebanyak mereka meluaskan pengaruh bahasa Melayu berbanding dengan kita yang ada kalanya lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris.

Bukan sahaja belajar bertutur dalam bahasa Melayu, Ryzal juga mengajarnya bertutur menggunakan dialek Kelantan. Ryzal yang berasal dari negeri Kelantan telah berkongsi video Maryam yang mencuba untuk berkomunikasi menggunakan dialek tersebut. Usaha Maryam yang belajar bahasa Melayu secara santai seperti melalui rancangan animasi popular, Upin & Ipin membuktikan bahawa bahasa Melayu sebenarnya boleh dipelajari oleh orang luar tanpa perlu melalui kelas bahasa secara formal. Selain kedua-dua pasangan tersebut, sebenarnya kebanyakan pasangan yang berkahwin campur sedikit banyak cuba mempelajari bahasa ibunda pasangan masing-masing. Hal ini demikian kerana mereka tertarik dengan keunikan bahasa Melayu sendiri dan pelbagai faktor lain. Perkongsian mereka mempelajari bahasa Melayu dalam media sosial masing-masing membuatkan mereka tular dan seterusnya menjadi pempengaruh kepada masyarakat.

Tuntasnya, bahasa Melayu sebenarnya mampu diluaskan dan dikembangkan pengaruhnya melalui perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat. Pasangan yang bertutur bahasa Melayu boleh mencontohi kedua-dua pempengaruh tersebut, iaitu Logesh dan Ryzal yang sentiasa memberikan galakan kepada pasangan masing-masing untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan negara kita. Hakikatnya, bahasa Melayu akan terus berkembang kepada anak-anak mereka seterusnya kepada keluarga besar mereka yang lain. Walaupun impaknya tidaklah sebesar sebagaimana perdagangan di Melaka suatu ketika dahulu, namun demikian sedikit banyak bahasa Melayu dilihat mampu meluaskan pengaruhnya ke seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.