Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM), YBhg. Dato’ Haji Jumaat Dato’ Haji Mohd Noor yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari tahun 1994 hingga 2004, telah mengumumkan bahawa PSM akan terus bekerjasama dengan DBP melalui penajaan edisi keempat Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM pada tahun 2025.
Menurut beliau, sayembara ini bertujuan untuk mencungkil bakat penulis kreatif tempatan serta mendidik pembaca remaja dalam menghayati jati diri kebangsaan melalui kisah sejarah yang berlatarkan tanah air.
“PSM berhasrat untuk melestarikan semangat nasionalisme dan cinta akan negara melalui usaha penulisan dan penerbitan karya kreatif,” ujar YBhg. Dato’ Haji Jumaat dalam ucapan alu-aluannya dalam majlis Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2022/2023 yang diadakan di Dewan Dato’ Hassan Ahmad pagi tadi.
Sayembara ketiga, yang berlangsung sepanjang tahun 2022 hingga 2023, telah melahirkan lapan novel berkualiti tinggi.
Keputusan pertandingan menyaksikan karya Di Perdu Serambi oleh Mazni M. R. dinobatkan sebagai johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000. Naib johan dimenangi oleh Cinta Natrah karya Nazri Hussein, yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5000, manakala tempat ketiga milik Leftenan Adnan Perwira karya Ameer Hamzah L. Kadir dengan hadiah berjumlah RM3000.
Selain itu, lima pemenang sagu hati, masing-masing menerima hadiah berjumlah RM1000, ialah Malim oleh Kamarulzaman Jaafar, Di Bawah Langit Ihsan oleh Salina Ibrahim, Kesidang oleh Abdullah Fathi Ghazali, Hari Pertama Bulan Baharu oleh Jong Chian Lai dan Ketika Itu di Bekor oleh M. Zaki Arif.
Barisan panel hakim terdiri daripada tokoh akademik yang berwibawa termasuklah YBhg. Profesor Dr. Hashim Ismail dari Akademi Pengajian Melayu, YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd. Samsudin dari Universiti Islam Melaka dan YBhg. Profesor Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dari Universiti Malaya yang bertindak sebagai ketua hakim. Mereka menilai karya yang diterima berdasarkan bahasa, nilai organik serta aspek ideologi seperti nasionalisme dan konsep negara bangsa, yang menjadi tunjang utama dalam tema sayembara ini.
Sebagai rekod, Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja ini mula dilancarkan pada tahun 2011 dan merupakan hasil kerjasama erat antara DBP dengan PSM. Pertandingan ini bertujuan untuk memperoleh novel sejarah yang berasaskan kajian tempatan, memperkasakan kreativiti penulis dalam penghasilan karya berunsurkan sejarah serta menambah koleksi terbitan DBP dalam genre novel sejarah untuk bacaan remaja. Sayembara ini juga berperanan mendorong lebih ramai pengkarya tempatan untuk menerbitkan hasil karya mereka dengan DBP.
Majlis pengumuman turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dan Ketua Bahagian Perkamusan DBP, YBrs. Encik Abdul Ghani Abu dan dilancarkan oleh Sasterawan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan.
Kerjasama DBP dengan PSM yang telah terjalin lebih satu dekad ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam mengangkat martabat sastera dan sejarah negara, khususnya untuk mendidik dan menginspirasi generasi muda.
Dengan pengumuman sayembara edisi keempat ini, bakal peserta dijangka akan membawa kisah sejarah baharu yang diharapkan dapat terus memperkaya sastera tanah air dan menginspirasi pembaca remaja pada tahun 2025.